KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia dalam kejadian runtuhan bangunan di bandar Angeles, Filipina pada Ahad, dilaporkan maut akibat ditimpa serpihan runtuhan, menurut Biro Perlindungan Kebakaran tempatan, lapor Xinhua.
Mangsa yang menginap di sebuah hotel pangsapuri berhampiran bangunan itu adalah antara empat individu yang disahkan maut dalam kejadian berkenaan.
Tiga lagi mangsa ditemukan di bawah runtuhan.
Menurut pihak berkuasa, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan 17 individu yang dilaporkan hilang.
Setakat petang Ahad, sekurang-kurangnya 26 individu berjaya diselamatkan, dengan 24 daripadanya dari bangunan yang runtuh dan dua lagi dari hotel pangsapuri itu, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan Polis Kebangsaan Filipina (PNP) telah mengaktifkan dan mengerahkan anggota mencari dan menyelamat serta pasukan tindak balas kecemasan bagi membantu operasi yang sedang dijalankan.
Ketua PNP Jen. Jose Melencio Nartatez Jr. dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pasukan polis juga akan membantu siasatan bagi menentukan punca runtuhan bangunan sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan di wilayah Pampanga itu.
Kementerian Luar Malaysia pada malam Ahad mengesahkan dua rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian itu, dengan seorang disahkan selamat.
-- BERNAMA