AYER KEROH:Selepas Kuala Lumpur kini Melaka pula membuka ruang kebebasan kepada rakyatnya untuk berniaga  di seluruh negeri untuk tempoh setahun bermula Januari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif kerajaan negeri itu adalah sebagai langkah membantu peniaga serta rakyat yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara.

Menurut beliau, para peniaga, bagaimanapun, perlu mendapatkan lesen perniagaan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Tambahnya, sebagai galakan berniaga, kerajaan turut mengumumkan Dana Bantuan Kasih Niaga kepada semua usahawan Melaka berjumlah RM1 juta ringgit.

"Kita (kerajaan negeri) bagi peruntukan ini (khusus) mungkin ada di kalangan (peniaga) yang baru nak berniaga, yang betul-betul memerlukan... kita boleh bagi mungkin RM1,000, RM2,000 untuk memulakan perniagaan yang baharu ini," kata Sulaiman.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mengecualikan lesen yang dikenakan buat pengayuh beca di Negeri Hang Tuah itu menjelang tahun hadapan.

Selain itu, Sulaiman berkata, insentif bantuan 'one off' berjumlah RM200 juga akan disalurkan kepada golongan terbabit.

Pengayuh-pengayuh beca juga, jelas beliau, akan turut diberi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM200,000.

Melalui inisiatif itu, caruman berkenaan, katanya, bukan sahaja diberikan buat pengayuh beca malah turut terpakai kepada pemandu kereta sewa dan teksi di negeri tersebut.

BACA: Kuala Lumpur 'wilayah bebas berniaga' mulai 15 November - Annuar Musa