Kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula keperluan berkenaan untuk menaikkan caj tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang benar-benar menekan kos sara hidup rakyat.

Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, amaran itu turut ditujukan kepada syarikat Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang seharusnya mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum cadangan kenaikan itu diutarakan kepada Kerajaan sendiri.

"Selama ini rakyat sudah selesa dan lega dengan ERL yang dikira memudahkan urusan pengangkutan ke KLIA dan klia2 dengan caj yang berpatutan.

"Kenaikan ini sebenarnya akan membebankan rakyat secara keseluruhan terutama mereka yang berpendapatan sederhana. Pengangkutan kapal terbang bukan lagi dianggap mewah terutama melibatkan urusan balik kampung atau percutian dalam negara.

"Jadi apabila ERL yang selama ini dianggap penyelamat untuk ke lapangan terbang sudah menjadi beban, ia akan memberi kesan panjang kepada seluruh rantaian ekonomi sekali gus boleh mengakibatkan masyarakat sendiri terbantut untuk menggunakan perkhidmatan itu. Rakyat boleh naik angin bila tambang naik," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada awal Disember, ERL mengumumkan tambang untuk perjalanan sehala antara KL Sentral dan KLIA/klia2 akan naik RM20 kepada RM55 mulai 1 Januari tahun depan.

ERL turut mempertahankan keperluan untuk menaikkan tambangnya bagi kekal mampan dengan alasan tambang untuk perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit tidak berubah sejak April 2002 walaupun kos operasi dan penyelenggaraan meningkat.

ERL juga menyatakan syarikat itu perlu terus melabur dalam sistem baharu dan set kereta api yang akan dihantar secara berperingkat mulai Mei 2016 untuk menampung jumlah penumpang yang meningkat.

Dalam pada itu kata Dr Najmil, kenaikan caj beberapa perkhidmatan awam lain juga pasti membebankan rakyat secara keseluruhan.

"Peringatan awal tadi bukan sahaja kepada ERL tetapi semua perkhidmatan awam. Semua faham kenaikan pelbagai kos sara hidup kini sudah semakin menekan dan pertambahan caj ini akan menambah derita masyarakat," ujarnya.

Nada sama diberi Exco Pemuda UMNO Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah yang mahu kadar tambang perkhidmatan awam turut dipertimbangkan.

"Bila lihat kadar tambang pengangkutan awam dinaikkan, saya rasa ianya harus dipertimbangkan semula. Bagi saya tambangnya tidak harus membebankan penguna.

"Kebanyakkan yang mengunakan perkhidmatan awam ini merupakan pengerak ekonomi negara, seharusnya Kerajaan ambil peduli tentang cara mereka bergerak. Mereka ini harus sentiasa diberikan keutamaan.

"Kita harus mengambil contoh negara-negara maju dalam cara pengendalian pengangkutan awam mereka dimana ianya mudah dan murah bagi penguna," tegasnya.

Katanya lagi, isu itu seharusnya menjadi topik utama dalam mesyuarat Kabinet dan titik penyelesaian dicari segera demi kemudahan pengguna pengangkutan awam sendiri.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata kenaikan caj tambang ERL tidak dapat dielakkan berikutan ia tertangguh hampir 14 tahun.