KUALA LUMPUR: Dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan dasar fiskal berhemah, ada kemungkinan sesetengah kumpulan rakyat akan hilang kelayakan daripada menerima bantuan kerajaan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata situasi itu boleh berlaku sejurus data yang lebih lengkap dan semasa dijana melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Saya agak runsing kerana ramai yang menyatakan kerajaan hendak beri tunai, maka mesti daftar dalam sistem PADU.

“Jangan tekejut pula, selepas mendaftar dalam PADU, sebelum ini ada individu yang tinggal di luar bandar, tetapi menerima bantuan pada kadar yang sama dengan orang yang tinggal di bandar.

“Jadi, selepas ini mereka akan dapat nilai bantuan lebih kurang. Mereka mungkin akan merungut, tetapi sebenarnya mereka sudah terima lebih daripada yang diperlukan atau mungkin tidak layak sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Tambahnya, ketika ini ada tanggapan bantuan sosial yang diberikan kerajaan melibatkan peruntukan lebih tinggi berbanding nilai sebenar diperlukan oleh kumpulan penerima.

Noor Azlan menegaskan, usaha yang sedang dilaksanakan melalui PADU adalah baik dan rakyat perlu turut serta mengemaskini data masing-masing.

Namun, pada masa yang sama ujarnya, orang awam perlu sedar bahawa akan berlaku perubahan pada kelayakan untuk menerima sejumlah bantuan sosial daripada kerajaan dengan mengambil kira faktor kos sara hidup di sesuatu lokaliti dan pendapatan boleh guna.

Agenda AWANI: PADU | Bantuan, subsidi lebih tepat