KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum dan budaya di negeri ini untuk terus memupuk semangat patriotisme seterusnya mengekalkan perpaduan serta menjaga keharmonian yang sedia terjalin.

Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023, Hajiji berkata rakyat Sabah perlu berdiri teguh dan jangan terpengaruh dengan sebarang perkara negatif yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan sehingga membawa kepada perpecahan.

Pupuk semangat patriotisme, jaga keharmonian - Hajiji

"Seluruh lapisan rakyat juga seharusnya memperingati dan menghargai jasa serta pengorbanan pahlawan dan pejuang negara yang mempertahan kedaulatan tanah air tercinta," katanya dalam perutusan itu hari ini.


Seiring dengan objektif Malaysia MADANI di bawah Kerajaan Perpaduan, Hajiii berkata agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerima baik segala langkah, tindakan serta perancangan yang boleh membina semula kekuatan negara terutama dalam aspek kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengajak rakyat Sabah untuk bersama-sama menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan'.

"Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2023", katanya.

-- BERNAMA