KOTA BHARU: Sejumlah 2 juta kenderaan dijangka memasuki negeri Kelantan bermula awal hingga akhir Ramadan.

Ia susulan peningkatan jumlah perantau yang pulang ke kampung halaman.

Menurut Ketua Polis kelantan, Datuk Shafien Mamat, jangkaan jumlah itu berdasarkan kenderaan yang keluar masuk ke Kelantan dan bukannya jumlah kenderaan yang masuk ke Kelantan pada penghujung Ramadan.

"Pada awal Ramadhan sahaja kita tengok orang Kelantan yang ada di luar pakat balik sambut puasa.

"Mereka ini ramai tapi mereka balik lokasi masing-masing dan tak mustahil mereka akan balik lagi pada Hari Raya jadi jumlah yang kata 2 juta bermula dari awal Ramadan sehingga menjelang Syawal.

"Kita tahu rakyat Kelantan tak sampai dua juta, saya harap jelaskan perkara ini, 2 juta ini dari awal Ramadan sehingga Syawal, cuma pada minggu akhir akan berlaku peningkatan kenderaan," katanya.

Shafien berkata demikian sebagai menjelaskan kembali kenyataannya sebelum ini bahawa jangkaan kenderaan keluar masuk Kelantan bermula awal Ramadan hingga menjelang Syawal dianggarkan 2 juta.

Sebelum itu, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman mempersoalkan angka 2 juta kenderaan itu kerana populasi rakyat Kelantan hanya 1.8 juta.

Md Anizam sebaliknya menjangkakan sekitar 500,000 kenderaan yang memasuki Kelantan menjelang Syawal nanti.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, kebiasaannya perantau akan pulang satu atau dua kali ke kampung halaman sepanjang Ramadan hingga menjelang Syawal.