KUALA LUMPUR: Hanya kerana terlibat secara langsung dalam program realiti Innovathon, Rafizi Ramli menjadi mangsa salah faham segelintir masyarakat yang menyangkakan beliau mahu menjadi seorang artis.

Kata Menteri Ekonomi itu, tujuan utama beliau terbabit dalam rancangan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi itu ialah untuk mewujudkan platform bagi membolehkan rakyat menyerlahkan bakat mereka.

Dalam masa sama, kata Rafizi, Innovathon bertujuan mengaruspedanakan budaya inovasi dalam kalangan rakyat.

“Apabila rancangan realiti televisyen, Innovathon dilancarkan, ramai orang ingat saya nak jadi artis. Itu bukan tujuan saya buat Innovathon.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, masalah yang sudah lama dialami di Malaysia adalah kita ada banyak bakat tapi tiada platform ataupun peluang untuk serlahkan bakat-bakat masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Program realiti Innovathon diterbitkan oleh Astro dengan engan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) melancarkan pertandingan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi yang mengetengahkan bakat dan idea inovatif peserta bagi mencari penyelesaian isu sosioekonomi.

Program yang buat julung kali diterbitkan secara besar-besaran itu menyaksikan penyertaan seramai 1,033 individu dari seluruh negara merangkumi peserta termuda berusia 7 tahun sehingga paling tua, 73 tahun.
Innovathon memulakan siaran pada 15 Julai.

Rafizi turut memberitahu, rancangan berkenaan juga membawa firma pemodal teroka untuk melihat idea dan inovasi yang dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Katanya, inovasi dibawa oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada yang paling muda sehingga dewasa.

“Kalau ada idea boleh terus mendapat pelaburan yang penting produk itu ada kekuatan teknikal dan ada nilai pasaran,” ujar Rafizi lagi.