MALAYSIA
Ramanan perjelas isu MITRA beri komputer riba 'second hand' kepada SJKT

Ramanan berkata, penyediaan komputer baharu akan menelan kos yang jauh lebih besar dan menjejaskan pelaksanaan program lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Langkah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mengagihkan komputer riba refurbished atau dibaharui kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mengambil kira dana disediakan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Ringkasan AI
- MITRA mengagihkan 6,000 komputer riba refurbished kepada 520 SJKT melalui program CSR Google, mengambil kira kekangan dana dan memastikan pelaksanaan program lain tidak terjejas, dengan semua unit diberi waranti dan menunjukkan impak positif kepada murid serta guru.
- Dakwaan bahawa komputer riba tidak bermanfaat disangkal oleh Timbalan Menteri R. Ramanan, yang menegaskan bahawa MITRA bukan kementerian teknikal dan perlu bertindak secara berpatutan dalam pengurusan sumber.
- Program Latihan Penerbangan MITRA bersama Westar Aviation melibatkan 100 peserta, dengan 75 sedang menjalani latihan sambil bekerja dan baki 25 akan memulakan latihan pada September, sebagai usaha memperkasa komuniti India melalui peluang kemahiran teknikal.
"Kalau kita berikan komputer riba baharu, kita akan menggunakan dana yang sangat besar dan kalau kita gunakan dana yang sangat besar, bagaimana untuk mengendalikan program-program lain," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas dakwaan laporan sesetengah pihak, kononnya komputer riba yang disediakan di bawah program bantuan komputer riba MITRA adalah refurbished dan tidak memanfaatkan murid di SJKT.
Ramanan yang juga bekas Pengerusi MITRA berkata semua komputer riba yang disediakan dibekalkan oleh syarikat Google melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan setakat ini 6,000 unit telah diagihkan kepada 520 SJKT.
"Semuanya diberikan waranti dan setakat ini, tinjauan terhadap impak mendapati program itu telah memberi impak yang positif daripada pentadbir sekolah dan guru-guru. Pihak pembekal telah menyelesaikan semua aduan yang dikemukakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa," katanya.
Program bantuan komputer riba MITRA dilancarkan pada 2023 dengan objektif membantu murid-murid SJKT lebih bersedia menghadapi keperluan pembelajaran abad ke-21 serta mengurangkan jurang digital di sekolah luar bandar dan bandar.
Berhubung tindakan sesetengah pihak mempersoalkan Program Latihan Penerbangan MITRA bersama Westar Aviation, Ramanan berkata setakat ini sebanyak 75 daripada 100 peserta sedang menjalani latihan sambil bekerja termasuk penyelenggaraan pesawat, manakala baki 25 peserta akan memulakan latihan September ini.
"Kalau nak senarai nama, saya akan bekalkan senarai sebab apabila semua program diumumkan di Parlimen tempoh hari, mungkin ada yang tidak puas hati. Tak apalah, saya ambil tanggungjawab supaya we can put this to rest," katanya.
Dalam sidang media berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran berkata beliau dan seluruh jawatankuasa itu menyambut baik pengumuman dibuat Perdana Menteri untuk komuniti India hari ini.
Bagaimanapun, beliau juga berharap supaya pihak-pihak tidak bertanggungjawab menghentikan daripada mengeluarkan fakta tidak benar serta provokasi terhadap masyarakat India.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami