BANGI: Kerajaan akan melancarkan rangka kerja bagi standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) pada akhir tahun ini untuk membantu peralihan syarikat tempatan kepada tenaga boleh diperbaharui, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, usaha itu akan memberi tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari aspek pembiayaan dan pembinaan kapasiti bagi eksport.

“Banyak pasaran eksport kita meminta pengeksport patuh ESG, jadi kita perlu mempersiapkan syarikat kita, terutamanya PKS untuk menjadi lebih patuh ESG,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) pertama Malaysia bagi tenaga boleh diperbaharui di sini, pada Selasa.

Pelancaran itu antara lain mengetengahkan prototaip BESS (MYBESS) satu megawatt yang telah dibangunkan pada Disember tahun lalu.

Tengku Zafrul turut berkata, usaha berkenaan juga meruapakan salah satu langkah bagi menarik minat pelabur luar terhadap negara ini.

Beliau menerusi ucapannya juga menyatakan, MYBESS juga akan menjadi salah satu inisiatif di bawah Dasar Automotif Nasional 2020.

Usaha itu jaga antaranya menyokong pembangunan Pusat Saling Operasi Kenderaan Elektrik (EVIC).

“Ini akan meningkatkan lagi penyepaduan grid pintar antara kenderaan elektrik dan infrastruktur di Malaysia. Perkembangan ini akan menyokong kedua-dua industri huluan dan hiliran dan melengkapkan bekalan permintaan bagi inisiatif semula guna bateri, penjanaan kuasa dan pengurangan karbon.

“Dari masa ke masa, semua usaha menyumbang kepada usaha Malaysia untuk mencapai komitmen Sifar Karbon Bersih kita menjelang 2050, sambil meningkatkan keseluruhan kualiti kehidupan dan akses kepada kemudahan utama bagi rakyat,” katanya lagi.