NATIONAL
Rangkuman 5 Berita Utama: 2 Januari
BERIKUT adalah antara tajuk-tajuk berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini di Astro AWANI.
BERIKUT adalah antara tajuk-tajuk berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini di Astro AWANI.
Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) sedia membantu mendapatkan dana untuk menampung kos rawatan kanak-kanak berumur sembilan tahun yang mengalami komplikasi selepas berkhatan di klinik swasta di sini baru-baru ini.
Presidennya, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata berdasarkan lawatan pihaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini mendapati kanak-kanak lelaki berkenaan memerlukan rawatan segera.

Pasukan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) dan Unit Perlindungan Hidupan Liar (WRU) amat sedih dengan insiden dua ekor gajah jantan liar mati dibunuh oleh pemburu haram berhampiran Sungai Segama, Hutan Simpan Kawag.
Gajah jantan pertama ditemui mati pada 27 Dis 2016 di tengah-tengah kawasan ladang bersempadan Hutan Simpan Kawag.
Gajah jantan kedua yang ditemui mati ialah gajah bergading bernama Sabre yang sebelumnya diselamatkan dari ladang dekat Tawau dan dipindahkan ke Hutan Simpan Kawag tiga bulan lalu selepas dipasang kolar satelit oleh DGFC dan WRU.
Sebanyak 17 sekolah di Kuala Krai, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas ditutup esok berikutan banjir yang melanda keempat-empat jajahan itu hari ini.
Jabatan Pendidikan Kelantan dalam kenyataannya malam ini berkata lapan sekolah ditutup di Kuala Krai, lima di Tanah Merah serta masing-masing tiga dan satu di Pasir Mas dan Tumpat.

Lebih 1,000 pejuang seni tanah air termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi bergabung pada Ahad dalam program Doa Untukmu Rohingya bagi menyatakan rasa prihatin terhadap krisis kemanusiaan yang melanda rakyat Rohingya di Myanmar.
Lebih menarik, sejumlah 100 karya puisi hasil karya rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat telah dipilih untuk disampaikan oleh selebriti popular tanah air serta tetamu kenamaan seperti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Jangan lari daripada tanggungjawab melangsaikan gaji dan bonus pemain walaupun selepas melepaskan jawatan."
Itu harapan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mahu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pengurus pasukan, Amirudin Shari memenuhi janji melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi November serta bonus mara ke final Piala Malaysia 2016.
