Rangkuman 5 Berita Utama: 23 Disember

Astro Awani
Disember 23, 2016 01:58 MYT
Rangkuman 5 berita yang menjadi tumpuan ramai pada pagi 23 Disember 2016.
BERIKUT adalah antara tajuk-tajuk berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini di Astro AWANI.
Tidak boleh umum calon PM, nanti ada yang kecewa - Tun Mahathir
Pakatan pembangkang sepatutnya membuat keputusan secara kolektif dalam menentukan calon yang akan menjadi perdana menteri jika pakatan itu menang pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika nama calon perdana menteri diumumkan pada ketika ini, ia akan menyebabkan kekecewaan dan perdebatan sesetengah pihak.
Adik bongsu TPM Zahid, Ahmad Dzulfikri Hamidi meninggal dunia
Adik Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Dzulfikri Hamidi meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada jam 11.30 malam tadi.
Allahyarham Dzulfikri, 45, merupakan adik bongsu kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak selepas solat Jumaat esok.
Resort milik Jamal disita MDSB
Sehari selepas hanya bertuala ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini, sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri berikutan ketiadaan bekalan air di negeri itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos 'dihukum' apabila resort miliknya di Sekinchan disita pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pagi Khamis.
Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu berkata tindakan penyitaan itu jelas bermotifkan politik dan mendakwa kerajaan negeri menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dengan mengarahkan MDSB bertindak sedemikian.
Jurugambar amatur jadi saksi fenomena salji di Gurun Sahara
Seorang jurugambar amatur telah berjaya merakamkan imej-imej luar biasa dan indah apabila gurun Sahara ditimpa salji pada 19 Disember lalu.
Portal berita Huffington Post melaporkan, gurun yang luas dan terkenal dengan suasana tandus itu kali terakhir menerima fenomena seperti itu adalah pada kira-kira 40 tahun lalu.
Karim Bouchetata telah merakamkan gambar-gambar menarik itu Isnin lalu di sebuah pekan di Algeria iaitu Ain Sefra, yang terletak di kawasan pergunungan Atlas di sebelah utara gurun tersebut.
Pendapatan David Beckham sehari hampir RM400,000!
Harta selebriti sukan terkenal, David Beckham terbongkar apabila dia disahkan menerima pendapatan £71,000 (RM391,884.49) sehari.
Menurut laporan Daily Mail, ia merupakan jumlah pendapatan tertinggi Beckham berbanding ketika dia hanya menjadi pemain bola sepak sahaja sebelum ini.
#Ahmad Zahid Hamidi #David Beckham #rangkuman berita utama #salji gurun sahara #Tun Mahathir #UMNO