MALAYSIA
Rangkuman pagi: 5 berita tumpuan
Berita dua pengikut tuhan Harun dijatuhkan hukuman antara yang menjadi pilihan pembaca Astro AWANI
Berikut adalah berita-berita yang menjadi tumpuan pagi, 28 Disember 2016.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan tetap beroperasi walaupun ia tidak lagi menjadi tuan rumah kepada perlumbaan Formula Satu (F1) selepas kontraknya tamat pada tahun 2018.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Razlan Razali berkata keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui kontrak dengan Pengurusan Formula Satu tidak akan menjejaskan penggunaan litar itu yang masih menerima banyak respons untuk penganjuran pelbagai acara, termasuk aktiviti bukan berbentuk sukan.
Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman mati terhadap dua pengikut Tuhan Harun yang terbabit dalam pembunuhan Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abd Malek, tiga tahun lalu.
Sumustapha Suradi, 41 tahun dan Shamsinar Abdul Halim, 39 tahun didapati bersalah membunuh Ahmad Raffli pada 1.50 petang, di no 7, Lorong Im 2/29, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 10 Nov 2013.
Tahun 2016 telah menyaksikan ramai selebiriti yang berkahwin dan mendirikan rumah tangga bersama insan yang mereka sayang dan cintai.
Antaranya Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, Akim dan Stacy serta Amyra Rosli dan Amar Baharin.
Iran bersedia menjadi tuan rumah bagi acara mempromosikan kebudayaan Malaysia di Tehran sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Duta Iran ke Malaysia Marzieh Afkham berkata acara berkenaan yang turut dirancang untuk diadakan di bandar-bandar lain, akan memperkenalkan artis Malaysia dan pencinta budaya agar rakyat Iran dapat mengenali kebudayaan Malaysia.
Ibu kepada kembar tiga yang terbabit kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Desa Permai, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, kira-kira 1.40 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, meninggal dunia selepas dua hari dirawat di hospital itu.