Pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd akur dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan arahan penjarakan sosial di dalam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Rapid Rail berkata polisi itu akan terus dilaksanakan sehingga kerajaan menetapkan keputusan baharu.

“Sehubungan itu, kami menyeru kepada semua penumpang yang akan kembali bekerja pada 10 Jun supaya mematuhi polisi yang telah ditetapkan dan sentiasa memberi kerjasama dengan pasukan Rapid KL yang bertugas di stesen.

“Pengguna diminta merancang perjalanan memandangkan bilangan penumpang akan bertambah. Kami amat menghargai komen dan pandangan rakyat Malaysia mengenai operasi perkhidmatan rel bandar,” menurut kenyataan itu.

BACA: Tiada lagi penjarakan sosial dalam LRT, MRT, monorel bermula esok - Rapid Rail

Rapid Rail dalam kenyataannya pada pagi Selasa memaklumkan pihaknya menamatkan peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen-stesen bermula Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran dilaporkan berkata, langkah itu sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pengangkutan berkaitan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, SOP itu membenarkan kapasiti 100 peratus penumpang dalam semua perkhidmatan rel kecuali Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Antara Bandar.

Tambahnya, perkhidmatan LRT, MRT dan monorel juga akan beroperasi secara normal seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media harian, pada Selasa, menegaskan SOP dan polisi berkaitan penjarakan sosial perlu diteruskan oleh semua pengendali pengangkutan awam.