MALAYSIA
Rasa durian seperti keju biru, PM Anwar tawan tunas rasa tetamu Makan Malam Gala AEM ke-57

Anwar pada Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 malam ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: "Diplomasi ASEAN" menyerlah malam ini apabila durian dihidangkan kepada kalangan tetamu Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menawan tunas rasa mereka apabila menyifatkan rasa buah terkenal itu seakan-akan keju biru.
Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN 2025, berkata penyajian durian, yang terkenal sebagai raja buah Malaysia, bersama-sama sajian istimewa tempatan lain adalah satu ujian keberanian terhadap kesungguhan Malaysia dalam memperkenalkan diplomasi ASEAN di pentas antarabangsa.
"Sebahagian daripada anda belum begitu biasa (dengan rasa durian) namun, saya amat menyarankan supaya anda mencubanya. Rasanya seakan-akan keju biru -- sama ada anda menyukainya atau tidak boleh menerimanya langsung," kata beliau semasa menyampaikan ucaptama pada Makan Malam Gala sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 di sini, malam ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina, Ma Cristina Aldeguer-Roque selaku Pengerusi AEM yang akan datang; para menteri ekonomi ASEAN serta wakil-wakil rakan dialog ASEAN.Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Perdana Menteri berkata ASEAN bukan sekadar sebuah rantau biasa malah juga rantau yang menjanjikan potensi yang tidak terkira banyaknya, justeru, beliau menyeru semua negara anggota memanfaatkan potensi tersebut sepenuhnya demi manfaat rakyat, rakan serantau, dan generasi akan datang.
"Malaysia kekal komited untuk memastikan pertumbuhan itu adalah inklusif, tiada negara anggota yang tertinggal dan hasil integrasi serta pembahagian manfaat dikongsi secara adil," katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata makan malam secara bufet itu menjadi lambang dam bukti perpaduan dan kepusatan komuniti ASEAN.
"Kita menyajikan nasi lemak, gado-gado, nasi ayam, pad thai, adobo dan pelbagai lagi. Kita mungkin berdebat mengenai makanan yang paling sedap, tetapi kita semua setuju tiada sesiapa yang akan pulang berlapar daripada majlis makan malam ASEAN," katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan termasuk Amsyar Lee, Shiha Zikir, Wanie Kyrie dan Marsha Milan Londoh, serta persembahan kebudayaan daripada pelbagai kumpulan, sekali gus mempamerkan kepelbagaian warisan rantau ini yang kaya dan penuh warna.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami