KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk melihat pendekatan yang lebih terkini dalam merasionalisasikan program subsidi dan ia perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kejayaannya.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming berkata penjimatan daripada proses rasionalisasi itu juga perlu diperlihatkan dengan cara yang lebih tepat bagi mengelak ia mendapat reaksi negatif orang ramai.

"Ia sewajarnya (dilaksanakan) secara beransur-ansur, bukan peningkatan mendadak seperti yang dilakukan sebelum ini. Sebagai contoh, kerajaan boleh meningkatkannya sebanyak 10 sen setiap bulan agar pasaran bersedia dengan perubahan itu.

"Kedua, kerajaan harus mengumumkan satu siri langkah melibatkan jumlah yang dijimatkan daripada subsidi bahan api dibelanjakan dengan cara yang sangat mudah difahami oleh rakyat dan juga memberi kesan kepada mereka.

"Sebagai contoh, sebahagian daripada penjimatan boleh diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan supaya beberapa doktor kontrak boleh diberikan perjawatan tetap, mengurangkan giliran untuk menerima rawatan, perluasan sayap tertentu di hospital tertentu yang sesak dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar pelancaran laporan Bank Dunia bertajuk "Membina Ketahanan Malaysia: Iktibar daripada Kesan Ekonomi dan Respons Dasar COVID-19".

Katanya, penjimatan itu turut boleh disalurkan untuk meningkatkan perbelanjaan pengangkutan awam dan sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk meningkatkan pemberian bantuan tunai.

Ong turut berpandangan bahawa mengambil subsidi dan memberi kembali kepada orang ramai secara langsung dalam bentuk pemindahan tunai atau sejenis kad yang boleh mereka gunakan untuk membeli bahan api adalah tidak boleh digunakan, kerana keseluruhan sistem akan lebih terdedah kepada kebocoran.

Mengulas mengenai penemuan laporan Bank Dunia, beliau berkata semasa pandemik COVID-19, terdapat keperluan untuk kerajaan memerangi krisis, dan juga menangani beberapa isu jangka panjang.

"Saya fikir adalah sangat penting bagi kerajaan persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan. Dan ini termasuk negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kini ditadbir oleh pembangkang," katanya.

Beliau juga menyuarakan kepentingan data yang dikumpul oleh kerajaan semasa tempoh COVID-19 termasuk daripada Kementerian Kewangan, disatukan dan digunakan dengan cara yang strategik untuk pemberian bantuan yang lebih baik.

Ong berkata sekarang adalah waktu yang sesuai bagi Kementerian Kewangan menjalankan proses audit bagi mengetahui aliran perbelanjaan wang itu, sama ada dibelanjakan dengan baik atau tidak disasarkan dengan baik.

Mengenai pembiayaan alternatif yang tersedia kepada perniagaan kecil yang mengalami kesulitan mendapat pinjaman daripada bank bagi membantu mempercepatkan pemulihan daripada kesan pandemik, beliau berpendapat bahawa terdapat banyak ruang untuk jenis mekanisme pembiayaan yang berbeza boleh dilaksanakan.

"Saya menantikan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu akhir bulan ini, kerana akan ada model pembiayaan yang berbeza yang akan dibincangkan dan diterokai termasuk pasaran modal, bank dan platform lain," katanya.

-- BERNAMA