KUALA LUMPUR:Tiada lagi penganugerahan tender projek secara terus atau secara tertutup, sebaliknya semua tender projek akan melalui proses secara terbuka, kata Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, agensi itu turut memperkenalkan Had Kuasa Budi Bicara (DAL) khusus untuk menjelaskan pembatasan kuasa pihak berkenaan, termasuk proses dan pelaporan yang akan mengurus tadbir kesemua geran dan sumber di bawah MDEC.

Jelasnya lagi, ini merupakan inisiatif MDEC untuk memastikan tiada unsur rasuah atau salah laku yang melibatkan agensi berkenaan dalam pengurusan projek.

“Rasuah seringkali menyebabkan kesan ketidakseimbangan kepada golongan miskin, menyeleweng dana khusus untuk pembangunan, membocorkan sumber awam, serta meremehkan fungsi kerajaan untuk menyediakan keperluan asas.

“MDEC sangat komited dengan  ketelusan radikal, akauntabiliti, serta integriti di bawah misi ‘MDEC Reinvent’, yang akan memacu strategi kami untuk ke hadapan, sekaligus memastikan kami dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat dan industri berkaitan,” katanya lagi.

Rais berkata, MDEC juga telah menggunakan khidmat KPMG dan Ernst & Young untuk menyediakan khidmat nasihat bagi mengukuhkan proses urus tadbir dalam agensi itu.

MDEC Reinvent, jelas beliau lagi, mempunyai misi untuk mempromosi proses dan polisi urus tadbir yang mementingkan tahap kompeten yang tinggi, akauntabiliti, serta ketelusan radikal, dan menitikberatkan konsep ‘know-how’ berbanding ‘know-who’.

“Keberkesanan inisiatif Rasuah Busters oleh Sinar Harian bukan sahaja bergantung kepada tahap kesedaran, tetapi penyertaan yang berterusan dan proaktif daripada kesemua pihak berkepentingan dalam ekosistem ini.

“Peningkatan pendidikan, penguatkuasaan, dan keinginan politik yang kuat sangat diperlukan bagi memastikan usaha transformasi Malaysia sebagai pusat Digital ASEAN, serta meningkatkan kesejahteraan hidup setiap rakyat Malaysia,” katanya lagi.