KUALA TERENGGANU: Penjawat awam wanita sebuah pusat pemulihan dadah di Terengganu yang disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata wanita berusia lingkungan 30-an itu dibebaskan baru-baru ini setelah ditahan reman sejak Isnin lepas.
Advertisement
SPRM sebelum ini memperoleh perintah reman sehingga esok terhadap suspek.
“Siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 masih dijalankan dan selepas itu kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 1 Mac, SPRM menahan wanita itu selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 bagi tujuan tersebut semasa suspek hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.
Turut ditahan ialah seorang penjawat awam lelaki berusia lewat 40-an yang bekerja di pusat pemulihan sama, namun dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama atas faktor kesihatan.
Siasatan awal mendapati mereka melakukan perbuatan itu secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh juga mengesahkan penahanan dua petugas di Terengganu dan berkata ia hasil laporan dikemukakan agensi itu berhubung salah laku serta pelanggaran integriti.
-- BERNAMA