Skip to main content

Sukan

Kem Jerman terkejut selepas Karl tersisih daripada Piala Dunia

FILE_ Germany's Lennart Karl,in action during the friendly soccer match between Germany and Finland in Mainz, Germany, Sunday, May 31, 2026. (AP Photo/Michael Probst, File)
Lennart Karl dilaporkan akan pulang ke Jerman dan kembali menyertai kelabnya untuk rawatan lanjut. - Foto AP

BERLIN: Presiden Persatuan Bolasepak Jerman Bernd Neuendorf menggambarkan suasana suram di hotel penginapan pasukan kebangsaan di Chicago, lapor Xinhua.

“Ada yang menitiskan air mata,” kata Neuendorf selepas skuad kebangsaan berkumpul di lobi untuk menyambut pemain muda Bayern Munich Lennart Karl yang pulang dari hospital dengan berita buruk.

Menjelang perlawanan persahabatan terakhir pra-Piala Dunia menentang tuan rumah bersama Amerika Syarikat pada Sabtu dan seminggu sebelum aksi pembukaan Kumpulan E Jerman menentang Curacao, penyerang Bayern itu mengalami kecederaan otot serius yang menyaksikannya terlepas saingan kejohanan berkenaan.

“Saya tidak dapat gambarkan betapa sukarnya untuk menerima kenyataan ini,” kata Karl selepas berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan utama.

Masalah yang menimpa pemain berusia 18 tahun itu bukan satu-satunya kebimbangan Jerman. Penjaga gol Manuel Neuer yang kembali beraksi masih belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya selepas mengalami masalah betis beberapa minggu lalu. 

Neuer dipilih semula sebagai penjaga gol utama menerusi keputusan saat akhir, namun akan terlepas perlawanan menentang AS dan penyertaannya dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan masih belum pasti.

Walaupun jurulatih Julian Nagelsmann menegaskan perkembangan Neuer berjalan seperti dirancang, kehilangan Karl hadir sebagai satu kejutan yang tidak menyenangkan. 

Pemain Leipzig Assan Ouedraogo dilaporkan akan dipanggil sebagai penggantinya dengan pemain berusia 20 tahun yang memiliki satu penampilan bersama skuad senior itu menerima panggilan berkenaan ketika sedang bercuti di Sepanyol.

Nagelsmann menyifatkan situasi itu sebagai “satu kejutan buat kami semua” kerana Karl dilihat amat sesuai dengan “sikap bersahaja anak muda, kelajuan serta corak permainan yang sukar dijangka”.

Karl dilaporkan akan pulang ke Jerman dan kembali menyertai kelabnya untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement