KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Lim Guan Eng untuk mendapatkan laporan forensik perbualan di aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat dua keterangan berbeza di dua mahkamah membabitkan baucar pembayaran dan cek yang sama mengenai tujuan penyerahan dan kepada siapa wang RM2 juta diserahkan.

Azura berkata berdasarkan nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi di Mahkamah Shah Alam yang telah dikemukakan sebagai eksibit dalam permohonan itu, mahkamah mendapati pemohon (Lim) berjaya menunjukkan wujudnya fakta baucar pembayaran dan cek Public Bank telah digunakan bagi pengeluaran wang RM2 juta yang dikatakan telah diserah kepada ahli perniagaan G. Gnanaraja.

"Dalam kes di hadapan mahkamah ini (Mahkamah Sesyen), keterangan (saksi) menunjukkan bahawa baucar pembayaran dan cek yang sama juga telah dikemukakan dan telah ditanda sebagai eksibit P140 dan P141 yang mana wang RM2 juta tersebut dikatakan diserahkan kepada tertuduh (Lim).

"Keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berkenaan wang tersebut (RM2 juta) melalui perbualan WhatsApp antara pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan Gnanaraja," katanya.

Menurut Azura, terdapat juga laporan analisis forensik digital yang disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perbualan WhatsApp tersebut dalam kes rasuah Lim di mahkamah ini.

"Bagaimanapun, laporan analisis forensik digital dalam kes di Mahkamah Shah Alam yang dimohon oleh pemohon tidak pernah dikemukakan di mahkamah ini," katanya.

Sehubungan itu, Azura berkata perkara tersebut adalah satu isu yang relevan mengikut Seksyen 5 dan 11 Akta Keterangan 1950 yang fakta menyeluruh harus dibentang dan dikemukakan kepada mahkamah agar kebenaran dapat diketahui.

"Pemohon perlu mendapatkan laporan analisis forensik digital dan laporan pengadu dalam kes di Mahkamah Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil. Mahkamah bersetuju dan mendapati prinsip kesamarataan dan perbicaraan yang adil seperti termaktub dalam Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan akan dapat dicapai dengan membenarkan permohonan ini.

"Berikutan itu, pemohon telah berjaya menunjukkan kepada mahkamah kenapa laporan forensik itu perlu dan penting kepada pembelaan dan permohonan di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah harus dibenarkan," kata hakim itu.