SEREMBAN: Dua kakitangan perubatan awam direman lima hari bermula pada Jumaat selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,500 sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 30-an dan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa, Zainab Yahaya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 40-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang di pejabat SPRM Negeri Sembilan pada Khamis.

"Mereka dipercayai menerima wang rasuah daripada dua syarikat yang sama antara tahun 2021 dan 2022 yang melibatkan kira-kira 12 transaksi bank berjumlah RM3,500," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Isnin lalu, media melaporkan SPRM menahan empat kakitangan perubatan awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100 hingga RM600 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000 daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat di antara tahun 2022 hingga 2023.

Penahanan itu menjadikan enam individu ditahan setakat ini selepas disyaki terlibat dalam kes terbabit. - Sinar Harian