KUALA LUMPUR: DI beberapa negara, kemeriahan bulan Ramadan lebih dirasa dan diraikan, berbanding Syawal.

Bagi pelajar Malaysia di Mesir, biarpun sudah terbiasa dengan situasi itu namun mereka tetap merindukan kemeriahan Aidilfitri di Malaysia.

Pelajar Tahun 4, Universiti Mansurah Mesir, Yusrin Darwisha Yahya memaklumkan, Ramadan di Mesir sangat meriah, malah boleh dikatakan lebih meriah berbanding Syawal di Malaysia.

"Mereka lebih memeriahkan Ramadan berbanding Syawal, mungkin kerana kenikmatan beribadat.

"Masuk saja Ramadan, mereka akan menghias rumah masing-masing. Semasa sahur, akan ada orang ketuk pintu dan kejutkan untuk bangun sahur.

"Kadang-kadang kami tak boleh tidur sebab pukul 12 tengah malam sudah ada orang kejut sahur. Kebetulan waktu Subuh di sini lebih kurang pukul 3 pagi, jadi selalunya kami memang tak tidur, lepas Subuh baru tidur," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Ahad.

Justeru, mereka bekerjasama bagi memastikan suasana Syawal seperti di tanah air, dapat dirasai.

"Untuk hari raya, kami cuma ada satu sama lain, jadi kami akan bahagikan tugas ikut rumah. Kalau di rumah saya buat kuah kacang, yang lain-lain boleh masak lodeh, rendang dan hidangan-hidangan lain.

"Selalunya kami akan memasak pada malam sebelum jamuan. Kami akan pilih satu lokasi khas untuk jamuan diadakan.

"Berkumpul sambil mainkan lagu raya, sedikit sebanyak dapat juga suasana raya. Pendek kata suasana hari raya hanya dirasakan apabila berada dalam kalangan orang Melayu.

"Ini kerana mereka tidak raikan Aidilfitri macam kita di Malaysia, ada rumah terbuka, ada baju raya dan sebagainya kerana lepas solat sunat Aidilfitri, mereka akan kembali buat kerja masing-masing," ujarnya.