Sekumpulan 40 wakil penumpang yang tidak dapat meneruskan penerbangan ke destinasi masing-masing kerana penggantungan operasi Rayani Air, tampil membuat laporan polis pada Selasa.

Laporan dibuat selepas syarikat penerbangan patuh syariah itu gagal mengembalikan wang tambang dalam tempoh 30 hari sebagaimana yang dijanjikan.

Selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam, kumpulan tersebut kemudian bertindak menyerbu ibu pejabat Rayani Air di lokasi sama pada jam 3 petang.

Mereka bagaimanapun hampa kerana pejabat berkenaan ditutup lebih awal daripada biasa.

Menurut salah seorang penumpang, Nik Azida Nik Mahmood, kumpulan ini mewakili 200 penumpang yang tertipu di seluruh negara melibatkan nilai tuntutan lebih RM150,000.

“Oleh kerana tiada penjelasan mahupun bayaran oleh pihak Rayani Air, saya mewakili kesemua penumpang seluruh Malaysia termasuk Sabah Sarawak hari ini membuat laporan polis memandangkan 30 hari bekerja yang dijanjikan Rayani Air telah tamat,” katanya.

Kumpulan tersebut dalam masa yang sama cuba menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan, Rayani Air, Ravi Alagendrran di hadapan pemberita namun tiada jawapan.

Dalam pada itu salah seorang penumpang, Zuraidah Ahmad yang kerugian hampir RM9,000 bagi membeli 28 tiket ke Kota Kinabalu akan bersama mangsa lain membawa kes tersebut ke mahkamah jika masih tiada penjelasan dari pihak Rayani Air.

“Saya datang ke pejabat pagi tadi kemudian pekerjanya suruh datang petang untuk bagi cek. Saya datang petang, pejabat pula tutup awal,

"Saya akan cuba berunding dengan peguam mengenai hal ini dan terus mendesak Rayani Air sehingga kami dapat hak kami semula,” kata Zuraidah.

Pada 10 April lalu, Rayani Air menerusi laman Facebooknya berjanji akan membayar semula wang tambang penumpang dalam tempoh tujuh hingga 15 hari kemudian melanjutkannya kepada 30 hari.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menggantung sementara operasi syarikat penerbangan patuh Syariah Rayani Air selama tiga bulan bermula 11 April.

Susulan notis penggantungan yang dihantar kepada syarikat penerbangan itu juga pada 11 April, DCA telah melaksanakan pentadbiran dan audit keselamatan menyeluruh operasi Rayani Air untuk menilai pematuhannya kepada Sijil Pengendali Udara (AOC).

Menurut Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman, ini kali pertama AOC sebuah syarikat penerbangan digantung mengikut Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996.

	Rayani Air gagal bayar wang tambang, 40 penumpang buat laporan polis
Selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam, kumpulan tersebut kemudian bertindak menyerbu ibu pejabat Rayani Air di lokasi sama pada jam 3 petang.-Foto Astro AWANI