PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 10 Nov untuk memutuskan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah memberikan kewarganegaraan kepada Wong Kueng Hui, yang dilahirkan 26 tahun lalu di Sabah berbapakan rakyat Sarawak dan ibu yang tidak pasti kerakyatannya.

Perkara itu disahkan oleh peguam Haijan Omar yang mewakili Wong ketika dihubungi Bernama.

Kes rayuan kerajaan pada Khamis didengar panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk M. Gunalan.

Peguam Kanan Persekutuan Mohd Izhanudin Alias mewakili kerajaan Malaysia.

Wong dilahirkan pada 2 Jan 1995 di Hospital Keningau, Sabah, dan telah menunggu 14 tahun untuk akhirnya diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Mahkamah Tinggi pada 21 Okt 2019 mengiktiraf Wong yang dilahirkan di Malaysia sebagai orang bernegara, sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan - peruntukan di mana mereka yang dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain berhak di bawah undang-undang untuk kewarganegaraan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan juga mengarahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya mengeluarkan sijil kewarganegaraan atau kad pengenalan kepada Wong.

Namun, ketua pengarah JPN, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia pada 31 Okt 2019 telah mengemukakan rayuan dan telah mendapat penangguhan sementara keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Bapa Wong meninggal ketika dia berusia 10 tahun, sementara ibunya yang bukan warganegara Malaysia meninggal ketika berusia 17 tahun.

Wong sebelum ini pernah memohon dua kali di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, tetapi kedua-dua permohonan itu ditolak.

Wong kemudian mengemukakan tuntutan melalui semakan kehakiman pada 20 Jun 2019 untuk mendapatkan beberapa perintah mahkamah, termasuk untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

-- BERNAMA