JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 7 November depan bagi  keputusan sama ada bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi perlu membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah atau dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut selepas selesai mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding rayuan kes itu, yang berlangsung selama dua hari.

Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang melepaskan dan membebaskan Abd Latif yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau daripada 37 pertuduhan rasuah,  selain kes di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta, lima tahun lalu.

Selain itu, anak lelakinya Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub turut dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tersebut dalam prosiding dua tahun lalu.

BACA: Bekas Exco Johor, Latif Bandi bebas 37 pertuduhan

Prosiding rayuan berkenaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib serta dibantu Mahdi Abdul Jumaat, Muhamad Asraf Mohamed Tahir dan Sender Lim Wai Keong.

Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffudin diwakili peguam Datuk Hasnal Redzuan Merican dan Datuk Sallehudin Saidin.

Pada 14 Jun 2017, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffudin masing-masing menghadapi empat pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram, di bawah AMLA 2001.

Sebelum itu, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009.