PUTRAJAYA: Keseluruhan rayuan berhubung kes SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan besar akan dibicarakan semula di hadapan Mahkamah Persekutuan.

Peguam kepada bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, situasi itu antara perkara yang dijangka berlaku sekiranya Mahkamah Persekutuan yang dibarisi oleh lima panel hakim lain, bersetuju dengan hujahan untuk permohonan semakan sabitan dan hukuman bagi kes SRC.

"Jika mereka (Mahkamah Rayuan) bersetuju dengan saya, dua perkara boleh berlaku. Mereka membuat perintah supaya keseluruhan perkara itu dibicarakan semula di hadapan Mahkamah Persekutuan.

"Keseluruhan rayuan itu akan dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan. Saya rasa itu kemungkinan besar berlaku," katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, Presint 2 pada Khamis.

Pada Khamis, seramai lima panel hakim mula mendengar semakan yang difailkan oleh Najib bagi menyemak semula keputusan mahkamah yang mengekal sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes penyelewengan dana SRC di Mahkamah Persekutuan di sini pada jam 9.43 pagi.

Mereka ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebil Sebli, tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Selain itu, Muhammad Shafee berkata, situasi yang lain iaitu Mahkamah Rayuan juga boleh memerintahkan supaya keseluruhan perbicaraan bagi kes itu kembali semula ke Mahkamah Tinggi.

"Tetapi jika mereka bersetuju dengan permohonan menolak kelayakan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mereka boleh memerintahkan supaya semuanya kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Pada pagi Khamis, belum pun sempat prosiding semakan bermula, Najib menerusi Muhammad Shafee membantah seorang daripada lima panel hakim untuk mendengar permohonan semakan itu.

Muhammad Shafee membantah komposisi panel hakim yang turut menyenaraikan nama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais kerana beliau merupakan hakim Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, Najib selaku pemohon mestilah menunjukkan wujud keadaan bahaya atau berat sebelah apabila Abu Bakar dimasukkan dalam senarai panel itu.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim yang mengangkat sumpah jawatan Presiden Mahkamah Rayuan; Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Susulan itu, Najib diperintah untuk menjalani hukumannya di Penjara Kajang pada hari yang sama.

Najib, 70, kemudiannya memfailkan semakan terhadap keputusan berkenaan atas alasan haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan pada 6 September 2022.

Najib memohon agar mahkamah tertinggi negara, menyemak keputusan panel lima hakim berkenaan dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utamanya diketepikan, dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Najib turut memohon untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Ia turut membabitkan semakan keputusan mahkamah yang menolak permohonan peguamnya untuk menangguhkan prosiding dan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian