PUTRAJAYA: Prosiding rayuan peguam untuk mencabar pengenaan levi pelepasan ke atas rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan hari ini kerana peguam kanan persekutuan yang mengendalikan kes itu tidak sihat.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili R. Kengadharan memaklumkan panel tiga hakim dalam prosiding mahkamah dalam talian bahawa Suzana Atan sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

"Saya memohon penangguhan (rayuan) bagi pihaknya (Suzana)," kata Sri Ram yang memohon supaya kes itu dibawa untuk pengurusan kes hari ini.

Semasa ditanya Hakim Yaacob Md Sam yang mengetuai panel itu, Peguam Persekutuan V. Krishna Priya mengesahkan Suzana, yang merupakan peguam utama tidak sihat. Krisha dan Suzana mewakili Menteri Kewangan dan Kerajaan.

"Kami menghantar kes ini untuk pengurusan kes bagi penetapan tarikh perbicaraan baharu. Kami akan mengarahkan tarikh perbicaraan lebih awal ditetapkan untuk kes ini," kata hakim itu yang bersidang bersama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk M. Gunalan.

Ketika dihubungi Bernama, peguam A. Srimurugan yang membantu Sri Ram dalam rayuan itu berkata, prosiding rayuan itu telah ditetapkan pada 4 Jan tahun depan setelah pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Radzilawatee Abdul Rahman hari ini.

Beliau berkata rayuan itu akan melibatkan isu penting mengenai sama ada seorang warganegara Malaysia mempunyai hak untuk ke luar negara dan mereka akan meneliti semula kes Loh Wai Kong berdasarkan perkembangan terkini beberapa undang-undang kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Februari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman difailkan Kengadharan terhadap Menteri Kewangan dan kerajaan setelah memutuskan bahawa mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Loh Wai Kong, apabila memutuskan hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara bukan merupakan hak mutlak

Kengadharan, dalam saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019, berkata Akta Levi Pelepasan 2018 dan Perintah Levi Pelepasan 2019 adalah melanggar hak asasi untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

Beliau memohon deklarasi bahawa perintah itu melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Dalam afidavitnya untuk menyokong saman itu, Kengadharan berkata sebarang bentuk cukai yang dikuatkuasakan, termasuk terhadap sesiapa yang ingin melakukan upacara keagamaan atau menunaikan haji, adalah melanggar hak kebebasan asasi.

Kengadharan juga berkata pengenaan cukai pelepasan, sebagai tambahan kepada perkhidmatan sedia ada dan cukai lapangan terbang, akan membebankan dan tidak wajar.

Pada 2 Ogos 2019, Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng berkata pengembara yang keluar negara perlu membayar antara RM8 dan RM150 sebagai levi berlepas mulai 1 Sept 2019.

-- BERNAMA