PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin menetapkan 26 Mac depan untuk prosiding pendengaran Datin Seri Rosmah Mansor, bagi mencabar pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sebutan kes itu di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan pada Isnin dijadualkan semula pada 8 Februari depan.

“Hanya ada sebutan kes dan tiada tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan ditetapkan setakat ini.

"Perlu dengar rayuan di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu sebelum tetapkan tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan di sini,” katanya.

Pada 7 Julai tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy, membenarkan permohonan Rosmah, untuk menangguhkan prosiding rayuan.

Keputusan itu selepas seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan permohonan itu dibuat dengan niat baik tanpa melengahkan prosiding rayuan itu, selain menegaskan rayuan di Mahkamah Persekutuan perlu dilupuskan terlebih dahulu.

Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai dilaporkan mengesahkan tidak menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan terbabit.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan selama empat hari bermula 11 Julai tahun lalu untuk mendengar rayuan berkenaan.

Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Rosmah memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau.

Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 September 2022, Mohamad Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. - Sinar Harian