MALAYSIA
Rayuan SIS Forum tidak sentuh isu akidah Islam - Mahkamah Persekutuan

TENGKU MAIMUN: Walaupun kes ini melibatkan suatu fatwa, ia tidak mempunyai kaitan dengan pegangan asas dalam agama Islam atau pengurusan terhadpa aspek utama agama tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Rayuan oleh Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia tidak melibatkan kepercayaan asas dalam agama Islam, mandat atau doktrin berkaitan dengan akidah Islam, sebaliknya tertumpu kepada pelaksanaan undang-udang oleh pihak berkuasa negeri tertentu, menurut penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa hanya terpakai kepada individu, bukan organisasi seperti Sisters in Islam (SIS).
- Rayuan SIS tidak melibatkan akidah Islam, tetapi mencabar pelaksanaan undang-undang oleh pihak berkuasa negeri Selangor.
- Ketua Hakim Negara menegaskan bahawa fatwa yang diwartakan mempunyai kuasa undang-undang dan mahkamah sivil boleh menyemak tindakan eksekutif jika melampaui bidang kuasa.
Ketua Hakim Negara berkata dalam semua negara demokrasi bertamadun yang mempunyai badan kehakiman bebas, adalah perkara biasa bagi keputusan eksekutif disemak melalui proses semakan kehakiman, dan dalam kebanyakan kes, isu utama bukanlah kandungan keputusan berkenaan sebaliknya bagaimana keputusan dibuat.
Khamis lepas, panel Mahkamah Persekutuan melalui keputusan majoriti 3-1 memutuskan bahawa fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 dan diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah sah namun hanya terpakai kepada individu dan bukan syarikat.
Mahkamah memutuskan bahawa sesuatu fatwa tidak boleh dikuatkuasakan ke atas sebuah organisasi seperti SIS Forum kerana ia tidak mempunyai keupayaan untuk menganut atau mengakui sesuatu agama.
Keputusan itu sekali gus membenarkan sebahagian daripada rayuan yang dikemukakan SIS Forum dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar bagi membatalkan fatwa yang dikeluarkan pada 2014 yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Menerusi penghakiman bertulis disiarkan di laman web Kehakiman, Hakim Tengku Maimun berkata Kerajaan Negeri Selangor serta badan agama terbabit adalah sebahagian daripada cabang eksekutif dan kuasa mereka diperuntukkan melalui Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
"Fakta bahawa mereka menguruskan hal-hal berkaitan akidah, dogma dan doktrin Islam adalah tidak relevan dan perkara-perkara tersebut, dalam apa jua keadaan, tidak berada dalam bidang kuasa kami sebagai Mahkamah Sivil," katanya.
Hakim Tengku Maimun berkata menurut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif ke atas perkara-perkara dalam ruang lingkupnya. Namun sekiranya Mahkamah Syariah bertindak melampaui bidang kuasa tersebut, ia tetap tertakluk kepada semakan kehakiman oleh mahkamah lebih tinggi.
Beliau berkata cabaran undang-undang yang dikemukakan oleh SIS Forum tidak mempertikaikan kandungan fatwa tersebut, sebaliknya kesan pelaksanaannya terhadap mereka.
Menurut beliau, perkara itu melibatkan kepentingan perlembagaan dan undang-undang pentadbiran yang berada dalam bidang kuasa mahkamah lebih tinggi untuk diputuskan.
Ketua Hakim Negara turut mengingatkan semua hakim bahawa setiap penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah bersifat mengikat, kecuali jika terdapat keputusan baharu daripada mahkamah yang sama, dan kegagalan mematuhinya dianggap satu penghinaan terhadap sistem kehakiman.
Dalam penghakiman tersebut, Tengku Maimun berkata sesuatu fatwa apabila telah diwartakan, mempunyai kuasa undang-undang dan bukan sekadar saranan semata-mata serta terpakai kepada semua umat Islam di negeri berkenaan termasuk Mahkamah Syariah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami