PUTRAJAYA: Ketua peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah percaya anak guamnya tidak perlu dipanggil membela diri selepas membentangkan hujah tentang Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dikatakan terkhilaf dalam menentukan kes prima facie.

Beliau berkata, sepanjang proses rayuan berlangsung selama lima minggu, pasukannya telah menyentuh banyak perkara utama mengapa alasan penghakiman Mohd Nazlan harus diketepikan Mahkamah Rayuan.

Jelasnya lagi, kesemua tujuh pertuduhan yang disediakan telah didraf dengan teruk sekali, biarpun Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Tommy Thomas) menggunakan khidmat pegawai-pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, serta peguam handalan swasta.

“Kami mengharapkan Mahkamah Rayuan dapat memutuskan bahawa anak guam saya tidak perlu pun dipanggil membela diri.

“Malah, pada peringkat prima facie, beliau sepatutnya sudah dilepaskan kerana ia (pertuduhan) tidak memenuhi kehendak undang-undang, dan fakta yang dibentangkan memenuhi kriteria pertuduhan, terutama sekali terhadap kesalahan yang diprediksi,” katanya lagi.

Muhammad Shafee berkata demikian kepada media selepas selesai menutup kes pasukan pembelaan di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil di sini, hari ini.

Dua lagi hakim yang mendengar proses rayuan itu ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, dan Datuk Has Zanah Mehat.

BACA: Rayuan SRC: Pembelaan tutup kes, Najib harap keadilan dapat berpihak kepadanya

Terdahulu, sewaktu berhujah di hadapan tiga hakim berkenaan, Muhammad Shafee menegaskan bahawa anak guamnya mempunyai kepercayaan penuh bahawa wang RM42 juta dalam dua akaun bank miliknya, merupakan sumbangan dari Raja Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata, anak guamnya telah dimanipulasi pihak-pihak tertentu, terutama sekali ahli perniagaan Low Taek Jho, sehingga tidak dapat mengesan dana itu sebenarnya datang dari SRC International.

Selain itu, Muhammad Shafee berkata, beberapa pihak yang diamanahkan bekas Perdana Menteri itu, gagal melaksanakan tanggungjawab mereka yang sepatutnya dalam memastikan tiada penyelewengan berlaku, termasuk Bank Negara Malaysia sendiri.

Muhammad Shafee turut berhujah bahawa Hakim Mohd Nazlan juga telah terkhilaf mengenai undang-undang dan fakta, apabila menolak sepenuhnya hujah pembelaan mengenai sumbangan dari Arab Saudi itu, dan menganggap ia adalah satu penipuan.

Pada 28 Julai lepas, Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan yang membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Biarpun Presiden UMNO itu telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, Mohd Nazlan membenarkan permohonan penangguhan hukuman sehingga selesai kesemua proses rayuan.