Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menasihatkan mereka yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO supaya mengenal pasti kemampuan diri mereka untuk mengalas jawatan tersebut.

Beliau yang tidak akan mempertahankan jawatan tersebut menjelaskan setiap calon yang menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua pemuda perlu tahu apakah peranan yang boleh dan perlu mereka mainkan apabila menggalas jawatan itu apabila diamanahkan oleh perwakilan.

Katanya, kemampuan untuk memainkan peranan yang boleh dan perlu dilaksanakan apabila dipilih menggalas jawatan naib ketua pemuda penting dalam memastikan UMNO terus kukuh dihati masyarakat khususnya golongan muda.

"Perkara yang perlu dan boleh dilakukan merupakan kriteria yang amat mustahak bagi setiap calon yang menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua pemuda UMNO.

"Mereka yang dipilih perlu buat beberapa perkara dalam usaha kita iaitu UMNO berdepan pilihan raya umum ke-14 nanti khususnya usaha kita untuk menarik lebih ramai pengundi muda," katanya ketika ditemui astro Awani baru-baru ini.



Ahli Parlimen Muar itu juga menasihatkan perwakilan pemuda yang bakal membuat pemilihan supaya mengenali latar belakang setiap calon yang bertanding semua jawatan dalam sayap UMNO itu dengan baik sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata biarpun sukar untuk perwakilan mengetahui latar belakang setiap calon yang betanding mana-mana jawatan dalam Pemuda, namun perkara itu mustahak untuk dilakukan.

Ini kerana jelas beliau, jika tidak mengenali latar belakang calon perkara yang dibimbangkan perwakilan tersalah membuat pilihan.

"Amat penting untuk kita mengenali setiap calon namun saya akui amat sukar untuk perwakilan mengenali setiap calon yang bertanding mana-mana jawatan dalam Pemuda.

"Calon dari Johor mungkin dikenali oleh orang Johor atau perwakilan dari Johor, calon dari Sabah dikenali oleh perwakilan dari Sabah, jadi sukar untuk semua sekali kenali tetapi perwakilan perlu tahu latar belakang mereka yang bertanding," katanya.



Razali juga menjelaskan pemilihan UMNO kali ini amat penting dalam usaha parti terbesar orang Melayu itu untuk menyuburkan demokrasi.

Namun kata beliau, perwakilan juga perlu memastikan pemilihan yang menggunakan format baru itu tidak menjadi seperti pemilihan parti lain yang dikritik ahli sendiri.

"Bagaimana parti-parti politik lain yang menghadapi masalah ketika pemilihan, tidak telus hingga timbul rasa tidak puas hati dikalangan ahli sendiri.

"Jadi kita perlu memastikan pemilihan yang menggunakan format baru ini tidak menjadi seperti pemilihan parti lain," katanya lagi.



Ketika diminta mengulas perjalanan politik beliau menjelang pemilihan UMNO kali ini, Razali menjelaskan beliau masih menimbangkan dengan sewajarnya sebelum membuat keputusan.

"Saya pertimbangkan semua pandangan dari semua pihak termasuk kawan-kawan, jadi bila tiba masanya saya akan tentukan dimanakah akan saya berada," tegas beliau.