Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Bekas Pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan tiba bagi prosiding reman

Sumber: Astro AWANI
Bekas Pengerusi TH, bekas CEO TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing dalam keadaan bergari tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga ahli politik bergelar Datuk Seri tiba di Mahkamah Majistret, di sini, bagi prosiding reman untuk membantu siasatan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi berkenaan.

Individu itu tiba jam 9.30 pagi Khamis dengan memakai baju reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga dalam keadaan tangan bergari.

Seorang lagi individu yang turut berdepan prosiding sama ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF) bergelar Tan Sri.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan jam 4 petang Rabu, selepas mereka diarah hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan kedua-dua kenamaan terbabit dijalankan bagi membantu siasatan suruhanjaya itu.

Jumaat lalu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH ditahan SPRM berkait siasatan kes sama, sebelum direman selama seminggu sehingga hari ini selepas Majistret Ezrene Zakariah meluluskan permohonan SPRM.

Pagi ini, lelaki berkenaan yang juga berusia lingkungan 60-an turut tiba di mahkamah sama, dijangka bagi proses lanjutan reman.

Bekas CEO TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu juga tiba dalam keadaan tangan bergari dengan memakai baju reman SPRM.

Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.

Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, selain seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Must Watch Video

Advertisement