IPOH: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengadakan mesyuarat pertama mereka pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, kerajaan tidak akan campur tangan dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, walaupun suruhanjaya itu terletak di bawah bidang kuasanya, tetapi beliau mengambil sikap tidak mahu mengganggu perjalanannya.

"Sikap saya dalam soal ini, kita (JPM) tak nak ganggu perjalanan mereka. Kita hanya nak tahu apa hasil akhir nanti. Akhir nanti mereka akan berikan finding (rumusannya). Kita beri kepercayaan penuh kepada mereka, kita tak hendak masuk campur dalam soal perjalanan RCI ini. Biarlah ia (menjadi) satu badan yang bebas daripada kita," ujar Idris.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian sumbangan skuad Musa'adah Keluarga Malaysia kepada mangsa ribut di Ipoh, pada Rabu.

Menurutnya, mesyuarat RCI pada Rabu lalu hanya sebagai mukadimah dan akan diadakan dari semasa ke semasa.

Pada 19 Januari, kerajaan mengumumkan pelantikan enam ahli RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan TH dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Lain-lain ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Unishams) yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Prof Dr. Asmadi Mohamed Naim; serta Akauntan Bertauliah yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.