Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Radzi Jidin gesa semua Ahli Parlimen diberi ruang berbahas

Radzi Jidin_FB Radzi Jidin
Radzi berkata, perbahasan itu tidak seharusnya terhad kepada beberapa orang Ahli Parlimen sahaja memandangkan laporan berkenaan melibatkan kepentingan awam. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen perlu diberikan peluang seluas-luasnya untuk membahaskan dapatan dan syor laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji dalam sidang khas Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin berkata, perbahasan itu tidak seharusnya terhad kepada beberapa orang Ahli Parlimen sahaja memandangkan laporan berkenaan melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan RCI Tabung Haji dan membentangkannya dalam sidang khas Dewan Rakyat.

“Laporan RCI mengenai Tabung Haji melibatkan kepentingan awam kerana menyentuh sebuah institusi strategik negara yang mempunyai kedudukan istimewa dalam kehidupan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Radzi, lebih sembilan juta pendeposit telah meletakkan kepercayaan kepada Tabung Haji bagi menguruskan simpanan mereka secara patuh syariah untuk menunaikan ibadah haji.

Katanya, bagi sebahagian besar pendeposit, wang yang diamanahkan bukan sekadar simpanan biasa, sebaliknya hasil titik peluh yang dikumpulkan bertahun-tahun dengan niat menyempurnakan tuntutan agama.

“Perkara berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan atau keputusan pelaburan Tabung Haji bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi dan pentadbiran, malah menyentuh soal amanah, integriti serta keyakinan umat Islam terhadap institusi tersebut,” kata bekas Menteri Kanan Pendidikan itu lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mendedahkan keseluruhan laporan asal RCI Tabung Haji dan membentangkan status pelaksanaan bagi setiap syor yang dikemukakan.

Kerajaan juga, katanya, perlu menjelaskan pelan tindakan terhadap syor yang masih belum dilaksanakan serta status tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan salah laku atau pelanggaran undang-undang.

Dalam pada itu, Radzi meminta Speaker Dewan Rakyat memastikan menteri berkaitan memberikan penjelasan terhadap semua isu yang dibangkitkan, selain membuka ruang soal jawab seluas-luasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan memberikan komitmen untuk mempertimbangkan dan melaksanakan cadangan bersesuaian yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen bagi menambah baik kedudukan Tabung Haji.

“Sama-sama kita pastikan institusi yang amat dekat di hati umat Islam ini diurus dengan penuh amanah, telus dan berintegriti,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement