Kemunculan Kelantan sebagai negeri yang menerima paling ramai pelancong dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi isyarat yang baik negeri itu melalui fasa pemulihan yang cemerlang.

Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud, ini membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Kelantan dalam aktiviti ekonomi.

“Saya rasakan ini satu langkah kanan yang cukup baik kerana pada awalnya saya jangkakan industri pelancongan Kelantan akan merudum disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun data ini sangat berbeza sekaligus merupakan petanda yang baik untuk pelancongan domestik Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang menyatakan Kelantan muncul sebagai negeri yang menerima paling ramai pelancong dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mohd Aidil Afizie berkata, kebanjiran pelancong domestik ke negeri Cik Siti Wan Kembang disebabkan rakyat Kelantan yang berada di ibu kota mengambil peluang untuk pulang dan dalam masa yang sama bercuti di negeri itu.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kebanjiran pelancong daripada negeri lain yang baru membuka mata akan keunikan tempat pelancongan di negeri Kelantan.

MAH juga mengesahkan kedatangan pelancong domestik yang diukur dari kadar penghunian purata (AOR) untuk negeri itu menunjukkan peningkatan bermula sebulan selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada pertengahan Jun lalu.

Melontarkan pandangan yang sama, Pengarah Eksekutif Hotel Perdana Kota Bharu, Amer Ahmad berkata, destinasi menarik, musim cuti sekolah dan syurga makanan di Kelantan menjadi antara faktor penyumbang kepada kebanjiran pelancong domestik di negeri itu.

“Menarik lebih ramai pelancong pasca PKPB saya rasa disebabkan antaranya insentif daripada Kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri, promosi-promosi yang dilancarkan pengusaha hotel tempatan dan disebabkan Kelantan itu sendiri mempunyai pelbagai produk pelancongan yang menarik.

“Ditambah pula dengan keyakinan pelancong terhadap aspek keselamatan dan kesihatan terhadap negeri Kelantan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Amer berkata fasa pemulihan di Negeri Kelantan dijangka akan lebih cepat sekiranya kedatangan pelancong ke negeri itu dapat dikekalkan atau lebih tinggi.

Jelasnya, kesan kedatangan pelancong yang positif ketika ini memberi kesan limpah ekonomi kepada penduduk yang sebelum ini terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung COVID-19.

“Saya lihat pemulihan dipacu dengan kedatangan pelancong yang terkini akan lebih baik, untuk hotel saya harap kesannya itu akan memberi kesan rantaian kepada peniaga tempatan, penggiat seni dan kebudayaan.

“Perkara ini akan dapat memberi kesan positif kalau berlandaskan maklumat terkini pemulihan itu akan bertambah cepat untuk negeri Kelantan,” ujar beliau.



Sementara itu, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud berkata, pelonggaran sekatan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan membolehkan sektor pelancongan di negeri itu kembali bernafas.

Tambah beliau, peluang pekerjaan juga semakin meningkat terutama mereka yang sebelum ini diberhentikan kerja dan peniaga kecil dan sederhana (PKS) di Kelantan.

“Banyak peluang-peluang pekerjaan yang telah timbul semula apabila menerima ramai pelancong domestik dan antara pekerjaan yang paling meningkat naik ialah pemandu pelancong,” tambahnya.

Bagi memastikan kedatangan pelancong di negeri Kelantan kekal dan meningkat masyarakat di negeri Kelantan digalakkan melibatkan diri dalam sektor industri ekopelancongan atau community based tourism (CBT) bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kunjungan pelancong ke negeri itu.

Mohd Aidil Afizie berkata, melalui eko pelancongan momentum kedatangan pelancong yang tinggi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dapat dikekalkan walaupun memasuki Monsun Timur Laut yang melanda setiap hujung tahun.

“Kita sedang merangka untuk mengekalkan momentum itu melalui beberapa sektor yang lain dan tidak melibatkan aktiviti luar seperti pelancongan warisan, melawat muzium, perkenalkan aktiviti melihat burung dan banyak lagi dalam sektor eko pelancongan.

“Selain itu, kita akan cuba mempergiatkan lagi aktiviti ‘Visit MyKampung’ dengan memperkenalkan kampung di negeri ini kepada penduduk negeri lain,” ujar beliau.

Disamping itu, jelas beliau produk pelancongan berasaskan makanan merupakan sektor yang begitu popular di Kelantan dan menjadi pemacu utama tarikan di negeri itu.

Justeru, beliau menyeru masyarakat Kelantan memasarkan lagi dengan lebih kuat produk makanan Kelantan kerana ia menjadi buruan pelancong domestik.

Ini sekaligus bersesuaian dengan Tahun Melawat Kelantan 2020.