ALOR SETAR: Kedah akan menerima hasil daripda aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) melibatkan daerah Sik, bermula tahun hadapan dengan kadar royalti yang dianggarkan sekitar 15 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan ia selepas kelulusan yang diterima Kedah sebagai negeri kedua yang dipilih sebagai projek rintis melibatkan perlombongan REE selepas Perak.

Beliau turut menzahirkan penghargaaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pemilihan Kedah sebagai negeri berpotensi untuk melaksanakan perlombongan REE dengan anggaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebanyak 250,000 metrik tan berbanding keseluruhan rizab REE di negeri itu berjumlah 1.196 juta metrik tan.

Tambahnya, angka berkenaan adalah penerokaan hasil baharu yang bakal diekstrak dalam tempoh masa 10 tahun akan datang.

"Sebelum itu, kesungguhan dan kesediaan Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkasakan industri mineral khususnya REE diterjemahkan sebagai Dasar Negeri dan pindaan Peraturan Mineral,

"Antaranya, Kedah telahpun memasukkan kadar royalti sebanyak 15% bagi Karbonat REE sebagai satu kadar baharu yang bakal dikutip sekiranya REE menjadi bijih keberhasilan utama sektor perlombongan Negeri Kedah."

Sanusi berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2024 di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menzahirkan harapan agar sektor melibatkan REE akan mula memberikan hasil bermula pertengahan 2024, berdasarkan kelulusan pengekstrakan yang diterima sejak Ogos tahun lalu.