MALAYSIA
Reformasi Majlis Keselamatan PBB, had kuasa veto akan dibawa pada UNGA ke-80 - Mohamad

Mohamad berkata, Malaysia juga menegaskan keperluan mengehadkan penggunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi akan membawa usul menggesa reformasi menyeluruh ke atas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 yang dijadual pada September ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga menegaskan keperluan mengehadkan penggunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB, terutamanya bagi kes-kes melibatkan genosid, kekejaman terhadap manusia dan pemusnahan infrastruktur awam.
"Itu sebabnya Malaysia, saya telah membawa satu perkara semasa perbahasan di Majlis Keselamatan dan PBB, kita nak supaya reformasi Majlis Keselamatan PBB dibuat.
"Lima anggota tetap tidak boleh mengunakan kuasa veto sewenang-wenang, terutama ke atas kes-kes yang berunsur genosid, penganiayaan, kekejaman manusia serta permusnahan struktur awam."Kita sepakat, dan Insya-Allah akan bawa (usul ini) pada Sidang UNGA yang akan datang," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang minta menyatakan usaha terkini kerajaan bagi membela nasib umat Islam Gaza akibat kekejaman rejim zionis Israel dan kegagalan seluruh dunia untuk menghentikan kezaliman itu.
Mohamad (BN-Rembau) menambah, Malaysia juga sedang menggerakkan usaha reformasi dengan mencadangkan penambahan ahli bukan tetap dari blok Amerika Selatan, Asia dan Afrika.
Ujar beliau, langkah ini penting bagi memastikan representasi lebih seimbang dan adil dalam badan tertinggi PBB itu, khususnya dalam membuat keputusan berkaitan isu-isu kemanusiaan dan keselamatan global.
Dalam perkembangan sama, Mohamad menegaskan, semakin banyak negara kini menyedari kekejaman rejim zionis Israel terhadap wanita dan kanak-kanak di Palestin, meskipun sebelum ini merupakan penyokong kuat rejim tersebut.
Beliau berkata, alasan Israel untuk mempertahankan diri tidak boleh diterima apabila serangan mereka mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa.
“Mereka kata itu hak mempertahankan diri. Tapi saya tanya, adakah membunuh wanita dan kanak-kanak juga dianggap sebagai mempertahankan diri? Kalau ya pun, berapa ramai lagi perlu dibunuh untuk memuaskan hati mereka?” soal Mohamad.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami