KUALA LUMPUR: Usaha reformasi penstrukturan negara perlu disegerakan dan memerlukan strategi yang tuntas bagi mengelakkan berlakunya ketirisan, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada masa yang sama, katanya, bantuan kewangan harus disalurkan kepada golongan sasaran sebagai penampan kepada program penstrukturan yang dijalankan sekali gus mengurangkan kesan sampingan ke atas rakyat.

Mohd Afzanizam berkata meskipun terdapat kesan sampingan sekiranya rasionalisasi subsidi dilaksanakan seperti impak kepada harga barang dan juga inflasi, langkah tersebut perlu diambil untuk mendepani ketidaktentuan pasaran dunia termasuk volatiliti dalam pertukaran mata wang ringgit berbanding dolar AS dan harga minyak dunia.

"Sudah tiba masanya ia dilaksanakan dengan kadar segera kerana dikhuatiri kos untuk melaksanakan reofrmasi tersebut akan makin meningkat, jadi makin lama tunggu makin kita terlepas peluang tersebut.

"Jadi inisiatif kerajaan seperti bantuan tunai dan sebagainya bertindak sebagai penampan kepada program rasionalisasi subsidi iaitu short absorber (penyerap jangka pendek) apabila berlakunya perubahan dasar tersebut," katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia, di sini, hari ini.

Menurutnya, program sesi libat urus juga perlu dilaksanakan supaya rakyat cakna dengan perubahan dasar serta kesan sampingan sekiranya program penstrukturan dilaksanakan.

"Program libat urus perlu diadakan supaya maklumat dapat disalurkan dengan lebih jelas dan mungkin rakyat boleh buat persiapan dan mempunyai tanggapan yang lebih positif untuk menerima perlaksanaan dan dasar tersebut," katanya.

Mengulas mengenai reformasi sektor pertanian dan makanan negara, Afzanizam berkata satu panduan menyeluruh perlu diwujudkan bagi memacu perindustrian pertanian negara dan pada masa yang sama menyelesaikan isu makanan import negara.

Nilai import agromakanan di Malaysia melonjak pada 2022 dengan nilai import berjumlah RM75.54 bilion berbanding RM63.59 bilion pada 2021.

"Sekiranya nilai import tersebut berjaya dikurangkan sebanyak 10 peratus, kita telah berjaya mengurangankan belanja sebanyak RM7.5 bilion. Pada masa ini, antara isunya adalah terdapat pertindihan bidang kuasa serta tanggungjawab antara agensi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden dan Pakar Ekonomi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Sendi Anak Tan berkata Malaysia harus mengambil pendekatan menjalinkan hubungan lebih kukuh dengan negara-negara ASEAN yang menjadi pengeluar utama makanan seperti Thailand dan Indonesia.

"Thailand adalah pengeluar beras, Indonesia juga menghasilkan minyak kelapa sawit dan sebagainya, manakala Vietnam dan Myanmar masing-masing juga adalah negara pengeluar makanan seperti beras dan sayuran segar serta tebu (gula)," katanya.

-- BERNAMA