KUALA LUMPUR: Status terkini reformasi permit masuk ke Malaysia serta pendirian kerajaan terhadap aktiviti dakwah di tempat terbuka antara isu yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyurat menerusi portal Parlimen, isu berkenaan bakal diajukan oleh Ahli Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Manndzri Nasib (BN-Tenggara) bertanyakan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung status terkini reformasi permit masuk negara, terutama aspek semakan semula dasar serta prosedur permohonan bagi memastikan pengurusan permohonan lebih efisien dan teratur.
Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) tentang aktiviti dan program seperti Street Dakwah yang bersifat advokasi di ruang awam dan tidak mengganggu ketenteraman awam di Kuala Lumpur selaras dengan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, pada sesi soal jawab pula Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) membangkitkan persoalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan sama ada program itu memberikan impak ekonomi secara langsung kepada penduduk Pulau Langkawi.
Tan Kok Wai (PH-Cheras) pula meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menjelaskan tentang penilaian kerajaan terhadap kedudukan Malaysia dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI) pada peringkat ASEAN dan global.
Beliau juga ingin mengetahui strategi khusus yang sedang dan akan dilaksanakan untuk menarik pelaburan AI bernilai tinggi yang melibatkan penciptaan teknologi, pemindahan kepakaran dan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan.
Azli Yusof (PH-Shah Alam) mahu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah kerajaan menggubal undang-undang kecil atau peraturan bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap kenderaan yang terbiar dan sering menimbulkan masalah di kawasan kediaman berstrata.
Wong Chen (PH-Subang) mengajukan soalan kepada Menteri Pengangkutan berhubung cadangan pembangunan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebagai hab penerbangan, serta kerangka dasar, pelan mitigasi bunyi serta mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan kerajaan bagi memastikan pematuhan perintah berkurung pada 10 malam.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025) bagi bacaan kali kedua.
-- BERNAMA