Seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas dihempap sebatang pokok ketika berehat di kawasan perkelahan Air Terjun Jangkar di sini, tengah hari tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Norhisham Mohamad ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari tadi dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota segera diatur gerak dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu menuju lokasi.

Kata Norhisham, berdasarkan maklumat saksi, mangsa adalah seorang remaja berumur 16 tahun.

"Mangsa dikatakan datang ke kawasan tersebut bersama-sama bapanya yang juga jurupandu arah untuk ke tempat perkelahan tersebut.

"Semasa kejadian, mangsa sedang duduk seorang diri di atas bongkah batu, sebelum tanah di belakangnya tiba-tiba menggelongsor lalu menumbangkan pokok-pokok yang berada di atas bukit.

Gelongsoran tersebut menyebabkan pokok itu menghempapnya.

"Orang ramai yang berada di tempat kejadian segera membantu mangsa dengan mengalihkan pokok tersebut dan mengeluarkan mangsa sebelum kehadiran pasukan bomba.

"Pada masa yang sama, salah seorang pengunjung yang juga seorang doktor telah membuat pemeriksaan awal ke atas mangsa.

"Mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan akibat kecederaan dalaman yang teruk.

"Mangsa kemudian telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasukan Bomba kata Norhisham, telah membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

Operasi membawa turun mangsa selesai pada jam 5.10 petang.