Pengetahuan tentang aspek keselamatan dan peraturan jalan raya perlu ditanam dan diberi penekanan dalam kalangan remaja bagi mengurangkan risiko ditimpa kemalangan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata kemalangan melibatkan golongan itu boleh berlaku atas faktor kurang peka tentang peraturan jalan raya.

Lee mengulas kejadian lapan remaja lelaki berbasikal maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada kira-kira 3 pagi tadi.

"Kesedaran golongan remaja tentang kaedah berbasikal dengan selamat di jalan raya umpamanya perlu ditingkatkan," katanya kepada Bernama.

BACA: 'Berbasikal di tengah malam bukan perkara baru, harap jadikan pengajaran'

BACA:
Senarai lapan remaja maut berbasikal

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) itu turut berkata ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak mereka dengan lebih dekat dan mengambil iktibar daripada kemalangan tersebut.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan rapi bagi mengetahui punca sebenar kemalangan itu.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani pula berkata penunggang basikal terdedah dengan risiko kemalangan maut selain pejalan kaki dan penunggang motosikal.

Katanya, antara faktor membawa kemalangan maut ialah tidak memakai topi keledar, jaket pemantul cahaya atau pakaian cerah, dan tidak menggunakan bantuan lampu pemantul cahaya.

Menggunakan kenderaan secara berkumpulan atau menghalang lalu lintas juga boleh membawa kepada berlakunya kemalangan, katanya.

Katanya mereka yang menunggang basikal pada waktu malam terdedah risiko kemalangan kerana pengguna jalan raya yang lain hanya menyedari kehadiran mereka apabila jarak kenderaan mereka sudah terlampau dekat.

-- BERNAMA