KUALA LUMPUR: Tempoh reman bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang ahli politik bergelar Datuk Seri yang ditahan kerana dipercayai meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian dilanjutkan tiga hari lagi.

Ia bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan selepas tempoh reman sebelum ini yang bermula Rabu lalu berakhir pada Sabtu.

Perintah reman selama sehingga 30 Januari ini terhadap kedua-dua suspek yang berusia sekitar 40-an dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kedua-dua suspek itu ditahan SPRM kerana dipercayai menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

Sepanjang tempoh siasatan, SPRM telah menyita dan merampas beberapa buah kenderaan mewah yang dmiliki oleh suspek terbabit.

Kenderaan yang telah disita tersebut ialah Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.

Kesemua kenderaan mewah tersebut kini disimpan di Gudang Sita SPRM.

Kenderaan-kenderaan mewah itu dipercayai hasil dari sumber rasuah yang diperolehi suspek bersangkutan dengan tender di kementerian terbabit.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penyambungan tempoh reman dua suspek berkenaan.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.