SHAH ALAM: Premis yang dipercayai menjadi lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah di Puchong, dekat sini didapati menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam proses pengendalian ayam.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin berkata pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik dipercayai digunakan terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum melalui proses penyembelihan.
“Siasatan awal mendapati premis itu menggunakan kaedah stunning (dan) ayam didapati mati sebelum disembelih. Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.
Salehuddin berkata demikian ketika ditemui pada Program Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan di premis itu tengah malam tadi diketuai JAIS dan melibatkan polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.
Keadaan itu, menurut beliau jelas menimbulkan keraguan terhadap pematuhan hukum syarak dan status halal produk ayam diproses yang menjadi fokus utama siasatan pihak berkuasa.
Salehuddin berkata siasatan awal mendapati pusat penyembelihan yang beroperasi dari 2004 itu dipercayai dimiliki individu beragama Islam dan membekalkan ayam diproses kepada restoran dimiliki umat Islam.
“Perbuatan mematikan ayam sebelum disembelih adalah perbuatan amat tidak bertanggungjawab. Kita akan pastikan tindakan tegas diambil. Syarikat telah beroperasi lebih 20 tahun, bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan mengapa mereka begitu mudah memperdayakan orang Islam,” katanya.
Susulan dapatan itu, Salehuddin berkata pihak berkuasa telah mengarahkan penutupan premis kilang tersebut selama dua minggu di bawah peruntukan kesihatan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
Beliau menggesa pemilik restoran yang menerima bekalan daripada syarikat itu agar menghentikan penggunaan produk ayamnya serta-merta dan melaporkan sebarang maklumat meragukan kepada JAIS, JAKIM atau polis.
“Saya juga menyeru umat Islam serta pemilik restoran dan pengusaha makanan apabila mendapatkan bekalan ayam, semak dari mana sumbernya kerana mereka perlu memastikan makanan halal untuk umat Islam,” katanya.
Terdahulu, JAIS merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Ops Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong pada 12.40 tengah malam tadi.
Program Deklarasi Fundamental ASWJ Negeri Selangor 2026 itu menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada guru, pengurusan masjid, pendaftar perkahwinan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi agama untuk mendalami kepentingan memelihara akidah menerusi pembentangan dua kertas kerja.
-- BERNAMA