ALOR SETAR: Polis Kedah mengingatkan orang ramai yang belum divaksinasi supaya jangan cuba menggunakan kad vaksinasi palsu atau dokumen palsu lain ketika diperiksa pihak berkuasa untuk mengelak daripada ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya tidak menafikan cubaan itu mungkin akan ada, namun sekiranya ditahan, mereka akan diambil tindakan mengikut Akta 342.

Beliau berkata, individu yang belum divaksinasi mungkin akan cuba menggunakan cara itu untuk pulang ke kampung, namun pasukan pemantau akan melakukan pemeriksaan secara rawak untuk memastikan semua individu lengkap vaksinasi ketika berada di tempat awam.

Katanya, kesemua 240 anggota yang terbabit ketika penugasan COVID-19 termasuk sekatan jalan raya (SJR) akan pulang ke unit masing-masing.

Empat pasukan pemantau dan dua pasukan akan bertugas setiap hari untuk melakukan pemeriksaan di pasar raya, kedai makan dan hentian lebuh raya untuk memastikan hanya mereka lengkap vaksinasi berada di premis berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu penutupan SJR di Plaza Tol Alor Setar Utara, tengah malam tadi.

Tambah Ahmad Shukri, tiga SJR iaitu Plaza Tol Alor Setar Utara, Plaza Tol Alor Setar Selatan dan Plaza Tol Hutan Kampung ditutup sepenuhnya jam 12 tengah malam.

Sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang melanda sejak Mac tahun lalu, bandar raya Alor Setar pernah terbabit dua kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta PKPD Bersasar di Kilang Best Grade Pokok Sena, Seberang Perak dan Kuala Kedah, manakala satu lagi kluster tembok di Penjara Pokok Sena.