MARANG: Sebanyak 20 spesies kelulut hidup termasuk daripada spesies jarang dijumpai menjadi tarikan utama Repositori Kelulut Indo-Malaya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bukit Kor, dekat sini.
Pengasas Repositori Kelulut UMT, Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata, kesemua spesies yang terdapat di pusat tersebut telah diperakui kesahihan identiti melalui proses inventori dan pengenalpastian taksonomi, sekali gus membolehkannya digunakan sebagai rekod saintifik untuk rujukan bagi kerja-kerja penyelidikan.
Beliau berkata, antara koleksi unik terdapat di repositori tersebut ialah Heterotrigona erythrogastra, Tetrigona peninsularis, Sundatrigona moorei, Tetragonula melina dan Odontotrigona haematoptera, iaitu spesies yang belum pernah direkodkan penemuannya di Semenanjung Malaysia sebelum ini.
"Selain itu terdapat juga koleksi daripada spesies Lophotrigona canifrons, Homotrigona aliceae, Tetrigona binghami, Tetragonula Minangkabau dan Tetragonilla atripes. Kami percaya himpunan spesies kelulut di Repositori UMT Bukit Kor adalah yang terbanyak di rantau Indo-Malaya dan ia merupakan pencapaian penting dalam bidang penyelidikan, pemuliharaan serta pendidikan biodiversiti.
"Koleksi 20 spesies ini juga satu rekod penting dalam usaha mendokumentasi dan memulihara kepelbagaian kelulut Indo-Malaya. Di pusat ini, pengunjung berpeluang melihat sendiri perbezaan morfologi, seni bina sarang dan tingkah laku setiap spesies," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Shamsul Bahri berkata, selain koloni kelulut, repositori yang berkeluasan 0.4 hektar itu turut dilengkapi dengan taman seribu bunga yang menjadi sumber makanan kelulut serta serangga pendebunga lain.
Beliau berkata, ketika ini taman tersebut masih dalam proses pembangunan dan apabila siap sepenuhnya, ia bakal menjadi tarikan pelancong dengan landskap berwarni-warni serta mesra biodiversiti.
Katanya, kewujudan taman tersebut membolehkan kelulut memperoleh sumber nektar dan debunga berterusan sepanjang tahun, sekali gus memastikan koloninya kekal sihat serta produktif dalam penghasilan madu.
"Pembangunan taman bunga bukan sekadar mencantikkan persekitaran repositori, sebaliknya dirancang sebagai sebahagian usaha mewujudkan ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup koloni kelulut.
"Kelulut memerlukan sumber nektar dan debungan berterusan untuk koloninya kekal sihat. Oleh itu, kita menanam pelbagai jenis tumbuhan berbunga yang mempunyai tempoh pendebungaan berbeza supaya sumber makanan dapat dibekalkan sepanjang tahun," katanya.
Selain itu, Shamsul Bahri berkata, pihaknya juga sedang giat menjalankan usaha penanaman semula empat spesies pokok Kor iaitu Johannesteijsmannia altifrons, Johannesteijsmannia magnifica, Johannesteijsmannia lanceolata dan Johannesteijsmannia perakensis yang mempunyai nilai sejarah serta ekologinya tersendiri.
Beliau berkata, suatu masa dahulu, pokok palma hutan itu tumbuh semula jadi dan menjadi landskap asal yang membentuk identiti Bukit Kor, namun pupus akibat aktiviti penerokaan tanah untuk pertanian selama beberapa generasi yang lalu.
"Kami mahu mengembalikan semula pokok Kor yang menjadi identiti asal Bukit Kor ke kawasan ini untuk tontonan generasi akan datang. Kita bawa empat spesies walaupun pada asalnya hanya spesies J altifrons yang mempunyai taburan di Terengganu.
"Penanaman empat spesies ini akan menambahkan kepelbagai an genus tumbuhan dalam satu kawasan, selain menghidupkan kembali warisan alam yang hampir dilupakan," katanya.
Lebih istimewa, Shamsul Bahri berkata, Repositori Kelulut UMT itu juga memiliki tumbuhan lili air gergasi dari lembangan Sungai Amazon, iaitu Victoria amazonica yang hidup di negara Amerika Selatan.
Tumbuhan tersebut, katanya, berbeza daripada teratai biasa kerana daunnya yang bulat mampu mencapai diameter hingga tiga meter dalam keadaan pertumbuhan optimum, selain bunganya yang berubah daripada putih kepada merah jambu dalam tempoh dua malam.
"Kerja-kerja menanam 400 pokok daripada 90 spesies pokok nadir juga selesai dilakukan. Projek ini bertujuan memperkenalkan semula tumbuh-tumbuhan warisan terutamanya buah-buahan dan tumbuhan makanan tradisional yang suatu ketika menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kampung.
"Di samping itu kami juga sedang mengumpul spesies orkid hutan untuk memperbanyak koleksi flora sebagai sumber makanan kelulut dan menyerikan lagi repositori ini," katanya.
Shamsul Bahri berkata, pembangunan pelbagai komponen di repositori itu merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang UMT dalam menjadikan Bukit Kor sebagai pusat pembelajaran biodiversiti berasaskan semulajadi dan destinasi ekopelancongan pendidikan yang unik di Terengganu.
-- BERNAMA