Tidak mematuhi penjarakan fizikal sebuah restoran di dalam pasar raya terbesar di Alor Setar, dikompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Restoran itu dikompaun kerana tidak menekankan aspek penjarakan fizikal ke atas pelanggan yang makan di situ.

Kompaun itu dikeluarkan ketika anggota polis dari pasukan khas pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melakukan pemantauan di premis pasar raya terbabit kira-kira jam 11 pagi tadi.

Dalam pada itu, hasil tinjauan pada hari kedua orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka mendapati orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan di Stesyen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Alor Setar mendapati, kesemua penumpang yang menaiki komuter memakai pelitup muka, melakukan pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan sosial.



Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, hasil pemantauan mendapati, orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan dan mengikut SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan SOP untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Orang awam diwajibkan memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan awam dan memakai cecair pembasmi kuman untuk mengelak terkena jangkitan.

"Mana-mana premis ataupun tuan pemilik premis yang ingkar mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan termasuk kesalahan seperti pemeriksaan suhu, catitan kehadiran dan penjarakan fizikal akan diambil tindakan kompaun RM1,000.

"Seterusnya kita akan menghantar surat kepada PBT untuk mengambil tindakan seterusnya termasuk menyita premis," ujar Mohd Redzuan.

Katanya, tiada kompromi terhadap individu yang ingkar PKPP akan dikompaun RM1,000.

Mohd Redzuan berkata, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, sehingga kini (mula PKPP - 10 Jun 2020 hingga 1 Ogos 2020) seramai 240 orang dikompaun termasuk beberapa pengusaha premis kerana gagal mematuhi SOP seperti penjarakan sosial, pengambilan suhu dan tidak mencatitkan butiran.

Selain itu, seramai 16 individu ditangkap iaitu pemegang kad UNHCR yang tidak mengamalkan penjarakan sosial sewaktu di premis kedai makan.

Pemantauan pematuhan SOP ini akan diteruskan bagi memastikan rantaian penularan wabak virus COVID-19 ini terputus.