GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan notis kepada sebuah restoran nasi kandar di sini, untuk mendapatkan penjelasan berhubung harga dua ekor sotong goreng yang didakwa mencecah RM100.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata tempoh dua hari diberikan kepada pemilik restoran itu untuk berbuat demikian sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Mohd Redzuan berkata tiga pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Timur Laut sudah melakukan pemeriksaan di restoran yang terletak di Lebuh  Campbell di sini, selepas menerima aduan hari ini.

Menurutnya, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 selepas isu tersebut tular dalam media sosial.

"Pengusaha dikehendaki memberikan maklum balas notis dalam tempoh  dua hari bekerja atau sehingga 26 November ini kepada pejabat Cawangan Timur Laut.

"Sekiranya gagal mengemukakan maklum balas yang diminta, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011," katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Tular | Selepas siakap, sotong pula jadi harga kayangan

BACA: Selepas 'siakap' Langkawi, 'sotong' di Pulau Pinang pula didakwa 'harga kayangan'

Mohd Ridzuan berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, penguat kuasa telah mengambil keterangan peniaga mengenai isu yang telah diviral bagi membantu siasatan lanjut.

Tegasnya, KPDNHEP sentiasa memandang serius sebarang isu kenaikan harga atau yang berunsur pencatutan yang berkemungkinan dilakukan oleh para peniaga.

Justeru, sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah,  pengguna disarankan membuat laporan rasmi kepada KPDNHEP. 

Pada Rabu, tular kisah 'harga sotong kayangan' di Pulau Pinang selepas seorang pelanggan mendakwa harga dua ekor sotong yang dibelinya di restoran berkenaan mencecah RM100.

Pelanggan terbabit berkongsi di laman sosial mengenai pengalamannya menikmati menu nasi kandar di sebuah restoran nasi kandar popular di negeri itu semalam.