KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman difailkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi yang dijadualkan bermula esok, dilapangkan selepas editor Sarawak Report itu memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah, ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee, yang berlangsung melalui sidang video hari ini.

Mohd Haaziq berkata mahkamah sebelum ini telah menetapkan 16, 17, 20 dan 21 Dis untuk perbicaraan kes saman itu dan pihaknya telah bersedia dengan beberapa orang saksi yang akan memberi keterangan termasuk plaintif, Sultanah Nur Zahirah.

"Bagaimanapun, defendan (Rewcastle-Brown) memohon untuk penangguhan prosiding dan mahkamah kemudian menetapkan menetapkan 4 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan itu," kata Mohd Haaziq yang turut dibantu peguam Vishnu Kumar dan Manisha Sugunesegran.

Peguam Mervyn Lai yang mewakili Rewcastle-Brown ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Berdasarkan notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas pada 13 Dis lepas, Rewcastle-Brown memohon perintah supaya prosiding kes saman itu ditangguhkan, sementara menunggu pelupusan akhir kes jenayah dihadapinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Wanita itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan terdapat persamaan membabitkan isu dan fakta berhubung kedua-dua kes kerana ia berkaitan dengan penerbitan buku "The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose".

Pada 23 Sept lepas, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown kerana gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Pada 24 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise iaitu Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengecualikan Sultanah Nur Zahirah daripada memberi keterangan dalam saman fitnah baginda terhadap mereka.

Berikutan keputusan itu, Sultanah Nur Zahirah perlu memberi keterangan bagi membuktikan kes saman fitnah baginda terhadap ketiga-tiga defendan.

Pada 13 Dis 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, iaitu supaya kes itu diputuskan melalui isu undang-undang dan baginda dikecualikan daripada memberi keterangan.

Sultanah Nur Zahirah, yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB.

-- BERNAMA