KUALA SELANGOR: Ribuan ikan ditemui mati dan terapung di Kolam Tadahan Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini dipercayai akibat pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa kilang.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jefriee Abd Manaf berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati kolam tadahan itu bertukar warna hitam dan berbau busuk serta dihurung lalat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan MPKS bersama-sama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah kilang memproses dan melupuskan hasil laut sejuk beku yang telah tamat tempoh.

"Hari ini kira-kira jam 10.30 pagi, kita telah melaksanakan operasi secara bersepadu dan mengambil tindakan terhadap kilang tersebut.

"Sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan dan kita memberi empat notis penutupan serta-merta kepada kilang tersebut," katanya ketika ditemui pada tinjauan di kolam tadahan dan pemeriksaan kilang pada Selasa.

Jefriee memberitahu, kilang itu juga dilihat masih berdegil kerana masih menjalankan aktiviti pelepasan sisa efluen meskipun tindakan penguatkuasaan dijalankan sehari sebelumnya.

"Semalam, kita menjalankan operasi penguatkuasaan dan terbukti kilang ini menjadi punca yang menyebabkan pencemaran di kolam tadahan.

"Kita telah bertemu dengan pihak pengurusan kilang yang mana mereka mengakui mengisar hasil laut sejuk beku yang telah tamat tempoh dan kemudiannya melupuskannya ke dalam parit awam serta mengalir ke kolam tadahan dengan jarak satu kilometer," jelas beliau.

Katanya, hasil semakan mendapati kira-kira 40 tan metrik sehari sisa efluen dilepaskan dari kilang itu ke parit berdekatan.

Tambah beliau, pelepasan itu menyebabkan air parit berhampiran bertukar warna merah jambu sebelum berubah hitam semasa di kolam tadahan selain mengeluarkan bau kurang menyenangkan kepada penduduk.

"Hasil semakan mendapati kilang itu beroperasi tanpa lesen sejak dua bulan lalu.

"Kilang ini ada memohon lesen, tetapi JAS menetapkan syarat industri perlu mengemukakan laporan EIA (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) yang menyebabkan MPKS menangguhkan sementara permohonan lesen sehingga mendapat kelulusan JAS," jelas beliau.

Sehubungan itu, Jefriee menegaskan, pihaknya telah mengarahkan kilang tersebut membuat pelupusan segera melalui KDEB Waste Management KDEBWM selewat-lewatnya pada Rabu.

"KDEBWM telah bersetuju membuat pelupusan dan sekiranya kilang terbabit masih ingkar kita akan membuat sitaan lebih drastik termasuk potongan bekalan elektrik dan air," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, tindakan pihak berkuasa itu amat positif berikutan beliau sering menerima rungutan daripada penduduk di kawasan terbabit.

"Pencemaran dihasilkan kilang lebih-lebih lagi berdekatan perumahan penduduk tidak sepatutnya berlaku dan ia dianggap amat mengecewakan.

"Perkara ini bukan sahaja boleh menyebabkan pencemaran sungai tetapi membawa kepada masalah kesihatan lain kerana terdapat banyak ikan terdampar dan dihurung lalat," jelasnya yang turut serta dalam operasi pemantauan dan penguatkuasaan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak industri menghentikan serta-merta aktiviti pencemaran tersebut daripada terus berleluasa.

"Kilang ini tidak jauh daripada perumahan penduduk dan kita mahu mereka lebih bertanggungjawab dan memikirkan soal rakyat yang tinggal berhampiran," tambah beliau. - Sinar Harian