Rakyat daripada pelbagai lapisan hari ini mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, di sini.

Tetamu mula berkumpul seawal 9 pagi di pintu masuk ke Seri Perdana. Rumah terbuka itu dari 10 pagi hingga 4 petang.

Buggy digunakan untuk membawa warga emas dan golongan kurang upaya ke khemah-khemah yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman.

Polis turut melakukan pemeriksaan badan dan beg pelawat.

Mereka yang hadir diraikan oleh Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan para menteri, antaranya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai yang berbaris panjang dengan penuh sabar untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada hos.

Najib, mengenakan 'Baju Melayu' merah-jingga, dan Rosmah serta menteri Kabinet tiba pada tengah hari dan mula menyambut tetamu, antara mereka ialah pemimpin parti-parti politi, diplomat asing, wakil NGO dan pemimpin korporat.

Perkarangan Seri Perdana umpama lautan manusia yang mengambil peluang untuk saling memberikan ucap selamat dan bergambar dengan Najib, yang kelihatan segak dalam Baju Melayu.

Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah, kebanyakannya makanan tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit, dan diberikan pek 'goodies' manakala kanak-kanak diberikan 'duit raya'.

Perkhidmatan bas percuma turut disediakan untuk mengambil dan menghantar orang ramai di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, dengan kadar kekerapan setiap 15 minit.

-- BERNAMA