PASIR PUTEH: Sebanyak 32 rumah dengan enam daripadanya mengalami kerosakan teruk susulan kejadian hujan lebat berserta ribut yang melanda lapan perkampungan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, dekat sini petang semalam.

Ahli DUN berkenaan, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, kawasan terlibat adalah Kampung Sungai Petai, Gong Chokoh, Gong Kala, Gong Keding, Gong Kedak, Gong Kua, Gong Tinggi dan Tebing Tinggi.

"Sebanyak enam rumah mengalami kerosakan teruk apabila bumbungnya tercabut dan ada juga yang ditimpa pokok tumbang dengan kebanyaknya di Kampung Sungai Petai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sungai Petai, hari ini.

Susulan itu, Wan Hassan berkata pihaknya sedang membuat bancian lengkap untuk mengetahui jumlah kerosakan yang dialami bagi mengemukakan bantuan kepada kerajaan negeri secepat mungkin.

"Bantuan awal berupa wang tunai sedang disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas bagi meringankan beban mereka sementara mendapat bantuan yang lain," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa Wan Mohamed Kozaini Wan Yusoff, 58, berkata kediamannya di Kampung Sungai Petai mengalami kerosakan teruk apabila sebatang pokok bacang setinggi kira-kira 30 meter yang terletak berhampiran rumahnya tumbang dan menghempap bahagian bilik tidur serta bilik stor.

Wan Mohamed Kozaini turut meluahkan rasa syukur kerana tiga anaknya terselamat daripada menjadi mangsa kejadian itu.

"Sebelum kejadian, saya meminta anak-anak keluar dari bilik berkenaan dan berhimpun di ruang tamu bersama anak-anak dengan cucu-cucu sebaik menyedari ribut mulai bertiup kencang kira-kira 4.30 petang," kata bapa kepada enam orang anak itu.

-- BERNAMA